Sunday, September 5, 2010

Siasat segera hubungan The Malaysian Insider dengan Bendera - Azwanddin

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa pihak berkuasa menyiasat portal berita propembangkang, The Malaysian Insider yang didakwa mempunyai hubungan dengan tiga pemimpin Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera).

Pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Indonesia itu yang dikaitkan dengan portal berita tersebut ialah Mustar Bona Ventura, Adian Napitulupu dan Serdi Semaun.

Ketiga-tiga mereka merupakan pemimpin NGO Batak Kristian.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya khuatir sekiranya portal berita itu mempunyai agenda lebih besar yang berkaitan isu-isu sensitif dalam negara dan juga hubungan antara Malaysia dan negara jiran itu.

"JMM mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan terperinci ke atas individu-individu lain yang terlibat dalam portal berita propembangkang tersebut.

"Individu atau organisasi lain yang menaja portal ini dan berhubung kait dengan negara jiran akan menerima keuntungan hasil ketegangan hubungan Malaysia dan Indonesia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed mencabar Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Insider, Jahabar Sadiq, menjelaskan hubungannya dengan pemimpin Bendera terbabit bagi memastikan tiada unsur pengkhianatan dilakukan ke atas Malaysia.

Menurut Zahrin, 'hubungan' antara Jahabar yang juga ketua pengarang portal berita itu dengan pemimpin Bendera mungkin boleh membetulkan keadaan yang berlaku disebabkan kempen anti-Malaysia anjuran pertubuhan itu.

Bendera semakin agresif melakukan protes provokasi dan penghinaan ke atas kedutaan serta kepentingan Malaysia di Jakarta bagi membantah penahanan tiga anggota penguat kuasa marin negara itu oleh polis Malaysia pada 13 Ogos lalu.
-source Utusan Malaysia 04/09/2010