KUALA LUMPUR 7 Sept. - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan hubungan istimewa portal berita propembangkang, The Malaysian Insider dengan tiga pemimpin Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di Indonesia.
Laporan yang dibuat di Balai Polis Jalan Travers pukul 2.30 petang itu, bertujuan menyerahkan dua bukti kukuh didakwa boleh mengaitkan portal berita tersebut dengan tiga pemimpin terbabit.
Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya percaya dua bukti itu mampu membantu polis dalam penyiasatan kes tersebut.
"Satu daripada bahan bukti itu adalah dokumen bergambar yang dipercayai boleh mengaitkan hubungan istimewa antara portal berita tersebut dengan Bendera.
"Satu lagi adalah dokumen diklasifikasikan polis sebagai dokumen persendirian. Kita (JMM) tidak dibenarkan mendedahkan bukti itu kepada mana-mana pihak.
"Bukti ketiga yang kita sebut sebelum ini, JMM belum bersedia untuk dedahkan," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis itu di sini, hari ini.
Azwanddin berkata, pihaknya percaya dua bukti itu dipercayai dapat membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung 'keakraban' portal itu dengan Bendera.
Katanya, ia sekali gus bakal mendedahkan pihak mana di negara ini terbabit menaja pertubuhan itu.
Menurutnya, JMM menyambut baik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada Sabtu lalu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menyiasat sekiranya terdapat bukti dan menerima laporan daripada mana-mana pihak.
"Bukti-bukti tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum supaya penyiasatan dan tindakan polis dapat dibuat tanpa tekanan daripada pihak pembangkang yang mungkin mempunyai kepentingan di dalam perkara ini.
"Kita tidak mahu hubungan 'adik-abang' antara dua negara terjejas. Kita tidak mahu sebarang agenda yang bersifat berkepentingan wujud dalam negara dan mana-mana pihak cuba mengambil keuntungan hasil ketegangan hubungan ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap bukti-bukti yang diserahkan tersebut dapat membantu polis menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
Akhbar pada Sabtu lalu melaporkan JMM berhasrat mendedahkan tiga bukti mengenai hubungan istimewa The Malaysian Insider dengan tiga pemimpin Bendera.
No comments:
Post a Comment