Sunday, September 5, 2010

Dalang, motif dan konspirasi

AWANG agak terkejut apabila ada NGO dan pihak di Malaysia mengaitkan portal berita pro-pembangkang, The Malaysian Insider dengan tiga pemimpin Benteng, NGO yang menggerakkan kempen ganyang Malaysia.

Ketiga-tiganya Mustar Bona Ventura, Adian Napitulupu dan Serdi Semaun adalah orang Batak Kristian. Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohamed dan Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, trio itu mempunyai hubungan baik dengan Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Insider, Jahabar Sadiq.

Ekoran pendedahan itu banyak pihak mahu pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut. Tetapi Awang lebih teruja dengan maklumat yang diperolehi daripada diplomat Indonesia yang percaya kempen anti-Malaysia mendapat motivasi sejak ketua pembangkang, Anwar Ibrahim menanamkan kebencian ke atas kerajaan Malaysia.

Menurut mereka, Anwar selalu memburuk-burukkan imej Malaysia selepas beliau dipecat daripada kerajaan pada 1998. Anwar diketahui telah lama membina jaringan dengan ramai tokoh di republik itu. Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan sebahagian syarikat media termasuk Kompas dan Jakarta Globe. Sebab itu, beliau selalu ke Jakarta dan menonjolkan imejnya sangat prihatin terhadap kepentingan Indonesia terutama kebajikan pekerja di Malaysia. Menurut seorang diplomat, dia mendengar cerita bahawa Anwar mendapat kemudahan dan layanan khas seperti kereta rasmi, penggunaan bilik kenamaan di lapangan terbang malah kawalan keselamatan badan inteligen nasional dan polis pengiring bermotosikal.

Perbuatan memburuk-burukkan Malaysia di luar negara terutama di Indonesia turut dilakukan oleh anaknya, Nurul Izzah. Sehari selepas insiden penangkapan tiga penguatkuasa Indonesia, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkunjung ke Indonesia dan menemui Kompas dan Jakarta Globe. Beliau membuat pelbagai dakwaan termasuk kononnya kapal selam Malaysia tidak boleh beroperasi sedangkan ia adalah fitnah. Dia bukan mahu meredakan keadaan sebaliknya mencurah minyak ke api.

Persoalannya apa motif Anwar dan Nurul Izzah? Apakah mereka mahu mendapatkan sokongan pihak asing bagi menyokong aspirasi politik PKR yang semakin ditolak oleh rakyat di tanah air sendiri? Apakah Anwar juga mahu mengalihkan perhatian daripada isu sebenar kepincangan PKR, kes liwat kali keduanya di mahkamah serta kemarahan orang Melayu atas pengkhianatannya? Awang sekadar lontarkan dan biarlah jawapan itu dicari bersama.

-source Utusan Malaysia 05/09/2010