Tuesday, September 7, 2010

Dua negara sengaja dilaga - Mukhriz

LEDANG 6 Sept. - Malaysia dan Indonesia sengaja dilaga-lagakan oleh pihak tertentu yang bimbang kedua-dua negara itu boleh menjadi kuasa berpengaruh di rantau ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Katanya, pihak ini bertindak mengadu domba untuk menyekat kemajuan pesat Malaysia yang semakin menghampiri matlamat untuk menjadi sebuah negara maju dalam tempoh 10 tahun lagi.

"Memanglah, kalau kita baca laporan akhbar mengenai tindakan mereka, kita naik panas tetapi kita kena sabar dengan tindakan ini," katanya di majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan kepada fakir miskin dan anak yatim anjuran Pemuda UMNO Bahagian Ledang di Masjid Datuk Abdul Ghani di malam tadi.

Beliau turut membidas tindakan pembangkang yang sanggup memburukkan imej Malaysia di luar negara semata-mata kerana mahu berkuasa.

Katanya, ini berbeza dengan anggota pembangkang negara lain yang sayang pada negara sendiri.

"Mereka gambarkan pemerintah Malaysia seperti Taliban, sistem kehakiman tidak telus dan rasuah, polis digambarkan begitu buruk dengan menggunakan istilah-istilah yang begitu hina yang boleh menyebabkan ramai pelabur tak mahu melabur di negara ini," katanya.

Sungguhpun demikian, kata Mukhriz, pelaburan asing di negara ini telah mencecah RM5.6 bilion pada tiga bulan pertama tahun ini iaitu bersamaan dengan keseluruhan pelaburan sepanjang tahun 2009.

Beliau yakin peningkatan jumlah pelaburan asing itu pada tahun ini akan lebih pesat lagi ekoran beberapa langkah termasuk usaha liberalisasi dasar pelaburan yang dilaksanakan oleh kerajaan. - Bernama

source Utusan Malaysia 6/09/2010