Tuesday, September 7, 2010

JMM dedah bukti Selasa ini

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) akan mendedahkan bukti mengenai hubungan istimewa portal berita propembangkang, The Malaysian Insider dengan tiga pemimpin Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera), Selasa ini.

Yang Dipertuanya, Azwanddin Hamzah berkata, bukti tersebut dipercayai dapat membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung ‘keakraban’ portal itu dengan Bendera, sekali gus bakal mendedah pihak mana di negara ini terbabit sama menaja pertubuhan itu.

“Kami ada tiga bukti dan akan mendedahkannya pada hari Selasa ini selepas satu laporan polis dibuat. Bukti tersebut termasuk gambar yang dipercayai mampu membantu pihak berkuasa menyiasat hubungan istimewa antara portal propembangkang The Malaysian Insider dengan Bendera.

“Ini adalah komitmen kami kerana hubungan The Malaysian Insider dengan kumpulan yang mengancam keselamatan negara perlu disiasat. Kami mahu tahu pihak mana di Malaysia yang berada di belakang semua kemelut ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pengakuan aktivis Bendera, Adian Napitupulu bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Insider, Jahabar Sadiq pernah berhubung dan berkomunikasi dengannya dan beberapa pemimpin Bendera yang lain.

Malah, Adian ketika diwawancara oleh portal berita Indonesia, News.Okezone.com juga mengakui bahawa banyak pihak di negara ini termasuk pertubuhan parti politik menyokong tindakan Bendera.

Bagaimanapun, Azwanddin enggan mendedahkan secara terperinci mengenai bukti berkenaan serta sumber maklumat itu diperoleh kerana mahu pihak berkuasa meneliti dan melihatnya terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, beliau menyambut baik laporan polis yang dibuat oleh Jahabar kerana percaya siasatan pihak berkuasa nanti bakal mendedahkan parti politik mana yang menjadi pengkhianat kepada negara.

Beliau yang sebelum ini mendesak Jahabar menjelaskan hubungannya dengan pemimpin Bendera seperti Mustar Bona Ventura, Adian dan Serdi Semaun mengulangi dakwaan bahawa wujud hubungan yang ‘selesa’ antara The Malaysian Insider dengan pertubuhan itu.

“Saya percaya demonstrasi jijik dengan membakar Jalur Gemilang dan membaling najis ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta adalah sebahagian daripada percaturan politik kotor pihak-pihak tertentu di Malaysia dan Indonesia.

“Di Indonesia, kita tahu ada percubaan untuk mengaibkan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono oleh mereka yang gagal menjadi presiden manakala di Malaysia anasir yang terbabit dalam isu ini juga mempunyai matlamat yang sama,” dakwanya.

-source Utusan Malaysia 6/09/2010