DALAM NEGERI
ARKIB : 26/02/2010
JMM dakwa penginapan RPK di London rumah Kalimullah
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini mendakwa bahawa penginapan pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin di London merupakan rumah milik Pengerusi Eksekutif ECM Libra Financial Group Bhd., Datuk Seri Kalimullah Hassan.
Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, ini kerana, rumah tersebut telah didaftarkan di atas nama isteri Kalimullah iaitu Helinna Hanum Dadameah pada 2007.
Sehubungan itu, katanya, JMM meminta Kalimullah menjelaskan kepada rakyat negara ini mengapa beliau membuat penafian mengenai pemilikan rumah tersebut yang bersangkut paut dengan dirinya.
“Persoalannya, mengapa beliau telah menafikan Raja Petra pernah mendiami rumah tersebut selepas pengendali portal berita Malaysia Today itu melarikan diri dari Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Masyarakat, Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azwanddin berkata, JMM mempersoalkan mengapa Kalimullah perlu melindungi Raja Petra.
“Selama ini pihak polis tertanya-tanya dan mencari Raja Petra dan mengapa Kalimullah berdiam diri. JMM musykil mengapa perkara itu terjadi sedangkan Raja Petra banyak mengeluarkan pelbagai kenyataan karut untuk menghancurkan keselamatan dan perpaduan dalam negara ini,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, beliau mahu pihak polis segera menyiasat pendedahan JMM itu yang mempunyai bukti jelas mengesahkan Raja Petra menetap di rumah milik Kalimullah sewaktu berada di London.
Dalam pada itu, katanya, pada 17 Februari lalu, JMM mendesak Kalimullah membuat penjelasan berhubung laporan sebuah laman blog yang mendakwa beliau membiayai portal berita propembangkang, The Malaysian Insider.
Sejak pendedahan itu, Azwanddin berkata, beberapa laman web terutamanya portal Malaysia Today dan The Malaysia Insider telah menghentam Kalimullah.
“JMM melihat ini sebagai salah satu strategi yang telah diatur untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa kedua-dua portal itu tidak lagi bersama.
“Sedangkan sebagaimana kita ketahui, kedua-duanya ialah ‘media strategi’ yang mempunyai agenda untuk mengancam keselamatan dan perpaduan di negara ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya, JMM juga bersedia untuk membuat pendedahan mengenai individu yang telah mengatur pertemuan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan agenda pertemuan itu.
“JMM mahu isu mengenai Raja Petra dan Kalimullah ini didedahkan terlebih dahulu. Selepas ini saya akan memanggil pihak media untuk mendedahkan mengenai pertemuan antara Guan Eng dan Kuan Yew itu,” katanya.