Wednesday, February 15, 2012

Lesbian, Gay, Biseksual & Transgender Ancaman Buat Generasi Muda

Pertemuan wartawan Mingguan Wanita dengan Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dirangka setelah menyorot usaha yang dilakukan JMM membasmi perilaku seks songsang serta seks bebas yang menular di Malaysia.

Bersama Azwanddin Hamzah, 39 tahun, pelbagai perkara yang diperbincangkan dan perlu diutarakan agar ia membawa kebaikan kepada banyak pihak khususnya kelompok masyarakat.

“JMM yang diwujudkan pada 2008 merupakan pertubuhan Melayu bertujuan untuk mempertahankan apa sahaja perlembagaan negara. Objektif kami ialah ketelusan dan integriti.


“Untuk mencapai tujuan itu, JMM berperanan mendidik anak-anak muda ke arah jujur dan amanah. Ini kerana semakin dunia mengejar kemajuan, semakin berkurangan nilai-nilai murni dan ia perlu dipupuk. Jika tidak diterapkan, kita bimbang mereka lupa mengenainya,” ujarnya apabila ditanyakan mengenai tujuan penubuhan JMM.

Menyentuh mengenai usaha JMM yang menentang aktiviti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), Azwanddin menerangkan JMM kini sudah bergerak dalam fasa kedua. Jika dalam fasa pertama, mereka turun ke masjid dan pusat beli belah untuk mengedarkan risalah kesedaran mengenai LGBT serta mengadakan demostrasi secara aman untuk menentang gejala LGBT, fasa seterusnya pertubuhan ini berusaha lebih gigih untuk mencapai matlamatnya.

“JMM melihat gejala LGBT sebagai satu ancaman kepada generasi muda di negara kita. Ini menyebabkan kami bergerak ke fasa kedua dan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai usaha membasmi perilaku LGBT yang semakin menular di Malaysia.
“Mengapa kami masuk ke dalam PIBG? Ini kerana sepanjang tahun 2011, terdapat 21 laporan melibatkan kes berkenaan yang dilaporkan berlaku di dalam sekolah melibatkan di antara pelajar dengan pelajar mahupun guru dengan pelajar.

“Saya percaya lebih banyak kes sebenarnya yang berlaku tetapi tidak dilaporkan. Malah lebih mengejutkan apabila terdapat satu kes di sekolah di sebuah negeri di mana pelajar tahun enam mengarahkannya pelajar yang lebih muda melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

“Penemuan kes seperti ini tentunya memberi kesan kepada ibu bapa kerana selama ini mereka ber pen dapat, sekolah ialah tempat yang paling selamat dan berharapkan tidak ada sebarang ancaman tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Pelajar hari ini terlalu ke hadapan. Untuk tahun ini pula, daripada 1 hingga 17 Januari sahaja, terdapat empat kes yang telah dilaporkan. Tidak mustahil angka ini akan terus meningkat. Walaupun ada yang berpendapat 21 kes pada tahun sebelumnya itu jumlah yang kecil tetapi seharusnya kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dalam persekitaran sekolah.

“Ini tentunya merisaukan JMM dan kami mengambil inisiatif menubuhkan jawatankuasa kecil ini dengan harapan ia dapat memberi kesedaran terutamanya di kalangan ibu bapa. Seperti pelajar kita di luar negara baru-baru ini mengejutkan dunia dengan perkahwinan sesama jenis. Kami tidak menghinanya tetapi dengan penyebaran maklumat, ibu bapa akan lebih peka terhadap isu ini,” kata nya yang turut memainkan peranan dalam usaha memperkukuhkan hubungan di antara Malaysia-Indonesia melalui program ‘People To People’.

Ada NGO Cuba Berselindung
Dalam pada itu, menurut Azwanddin, dia begitu kecewa dengan kemunculan beberapa pertubuhan yang sejak akhir-akhir ini dilihat begitu menggalakkan gejala sumbang ini.

“Lebih merbahaya apabila sasaran gejala ini ialah anak muda Melayu yang beragama Islam.

“Saya akui kita tidak boleh menghalang laman sosial seperti Facebook dan juga laman web yang lainnya kerana ini di luar kemampuan kita tetapi apabila ada NGO yang cuba memperjuangkan hak minoriti, saya berasa pelik kerana apakah sebenarnya agenda mereka. Adakah ia kepentingan individu atau seks mereka? Hakikatnya, suara majoriti itu tidak pula didengari,” katanya bersungguh.

Perhatikan Tingkah Laku Anak
Menyentuh mengenai penglibatan keluarga dalam isu LGBT ini, anak keempat daripada tujuh beradik ini berkata ibu bapa perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak. Dengan cara ini, pencegahan dalam dilakukan lebih awal.

“Ibu bapa lebih risaukan anak perempuan berkawan dengan lelaki dan berasa selamat apabila anaknya hanya berkawan dengan kaum sejenisnya. Seharusnya ini yang perlu dibimbangkan dan ibu bapa harus sentiasa memerhatikan tingkah laku anak-anak.

“Antaranya gaya anak berbual di telefon, sentiasa bercerita mengenai kebaikan rakannya, anak lelaki pula lembut dari segi fizikal, berkawan terlalu rapat dan dilihat jarang bersosial dengan rakan berlainan jenis.

“Saya berharap jika JMM sukar untuk pergi secara langsung kepada pelajar dan remaja, melalui PIBG, kempen dan maklumat dapat disalurkan sesuai dengan matlamat JMM untuk memberi pendedahan kepada ibu bapa dan seluruh masyarakat.

“Sememangnya JMM memerangi LGBT secara agresif. Saya bimbang jika kita tidak melakukan sesuatu, NGO yang terbabit akan bersungguh-sungguh menggalakkan aktiviti LGBT. Kempen ini akan dijalankan berterusan untuk menyelamatkan akidah anak-anak muda kita.”

Berdepan Ugutan
Menceritakan pembabitannya dalam bidang NGO ini, Azwanddin yang berpendidikan luar negeri dalam bidang Pentadbiran Perniagaan ini berkhidmat sebagai Pengarah dengan Yayasan Nusantara yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia.

“Secara peribadinya, saya merasakan jika mahu membantu masyarakat, ia boleh dilakukan melalui NGO, bukan sekadar platform politik. Walaupun menerima tentangan, malah berhadapan dengan ugutan, saya sudah merasai risiko inilah yang bakal saya hadapi apabila membangkitkan isu-isu tertentu.

“Namun inilah cabarannya. Tapi apabila saya merasakan ini adalah perjuangan, ia tidak datang dengan senyuman. Pernah rumah saya dibaling batu memberi amaran tetapi apabila saya percaya apa yang saya lakukan adalah demi anak bangsa, saya menganggapnya sebagai satu perkara biasa,” tambahnya lagi.

Di sebalik kekuatannya, Azwanddin bersyukur kerana dianugerahkan seorang isteri iaitu Nor Ainon Wan Mohd Fadzil yang begitu memahami cita-citanya.

“Isteri saya seorang yang tabah dan sentiasa memberikan galakan. Dia juga memainkan peranan besar dalam menghidupkan JMM pada awal penubuhannya. Dia mempercayai hasrat saya hingga sanggup bergolok bergadai untuk membuka pejabat.

“Alhamdulillah, kini penglibatan profesional memberi kelebihan kepada JMM dalam menggerakkan sebarang aktiviti. Keahlian juga melebihi 9,000 ahli di seluruh Semenanjung Malaysia,” ceritanya mengenai pengorbanan isterinya.

Di akhir pertemuan, bapa kepada empat cahaya mata ini sempat menitipkan pesanan yang begitu berharga.

“Ada segelintir ibu bapa yang begitu moden tetapi soal akidah jangan dibuat main. Akidah tetap akidah yang perlu dipertahankan. Sedarlah bahawa keharmonian sebuah negara itu bermula dengan institusi kekeluargaan.

“Kembalilah kepada Rukun Negara yang pertama. Mana-mana agama pun baik Islam, Buddha, Kristian dan Hindu; semuanya menolak hubungan sejenis. Ia musibah sebenarnya jika tidak ditangani daripada awal,” katanya yang menjadikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohammad sebagai idolanya.

Ditemu ramah oleh : NOR AMZA ABD KADIR FOTO WAN HAMIMAH IBRAHIM Sumber: Mingguan Wanita

No comments:

Post a Comment