Wednesday, December 26, 2012

Jelaskan kaitan Deepak dengan pelbagai isu 'skandal politik


KUALA LUMPUR 23 Dis. - Ahli perniagaan, Deepak Jaikishan didesak membuat sidang akhbar khas sekali lagi bagi menjelaskan kaitannya dengan pelbagai isu terutama perkara-perkara yang berunsurkan 'skandal politik'.


Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim berkata, Deepak dalam sidang akhbar sebelum ini memberitahu beliau tidak memihak kepada mana-mana parti politik atau cenderung kepada individu politik tertentu sebaliknya hanya menumpukan kepada urusan perniagaan.


Walau bagaimanapun jelasnya, pendirian Deepak itu menimbulkan persoalan berikutan beliau didakwa banyak membuat kenyataan berbaur politik menerusi media-media propembangkang.

"Deepak sekarang sudah menjadi alat politik pihak tertentu. Mungkin pendiriannya untuk tidak mahu terlibat dalam politik adalah propaganda sahaja, mungkin hari ini beliau mengambil sikap berkecuali hanya kerana terjerat dengan hutang-piutangnya.

"Beliau perlu mengadakan satu lagi sidang akhbar dan mesti berani serta jujur memberi penjelasan tentang diri beliau yang kini dikaitkan dengan pelbagai isu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan Bekas Setiausaha Sulit Anwar Ibrahim, Anuar Shaari terhadap Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berhubung kaedah pakatan pembangkang menjelaskan hutang Deepak dengan Kuwait Finance House berjumlah RM170 juta.

Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, Deepak perlu membuat penjelasan terperinci berhubung hutang syarikatnya yang didakwa telah dijelaskan sepenuhnya.

Beliau berkata, kenyataan Deepak sebelum ini memperlihatkan beliau seolah-olah terlibat dalam percaturan politik pihak tertentu terutama apabila media propembangkang terlalu membelanya.

"Kita ingin tahu adakah Deepak berada dalam keadaan tertekan sama ada tekanan hutang atau mungkin tekanan kerana terpaksa menjadi alat kepada strategi pembangkang?

"Deepak harus jelaskan isu ini. Kalau berada di pihak benar, beliau perlu sangkal dakwaan pembangkang telah menjelaskan segala hutangnya," katanya.


Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment