Wednesday, December 26, 2012

Papa: Pikap tidak patut lindungi agensi

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) mengingatkan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan (Pikap) agar tidak melindungi agensi pekerjaan berdaftar di bawahnya dalam isu pemerdagangan orang yang kini disiasat polis dan Jabatan Imigresen.


Presiden Papa, Jeffrey Foo berkata, agensi pekerjaan perlu memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada 105 wanita warga asing yang diselamatkan di Bandar Baru Klang oleh Jabatan Imigresen Selangor 1 Disember lalu diperdagangkan atau tidak.

"Papa mendapat maklumat ada di antara pekerja Indonesia yang diselamatkan merupakan pekerja bawah umur. Malah, ada seorang gadis berumur 14 tahun diselamatkan. Ini sesuatu yang mengejutkan dan bukti pemerdagangan orang!

"Kami berpendapat Pikap tidak perlu melindungi ahlinya kerana perkara itu kini diurus polis dan Jabatan Imigresen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 1 Disember lalu, 105 wanita warga asing yang menjadi mangsa pemerdagangan orang selepas diperdaya sebuah agensi pekerja asing di bawah Pikap telah diselamatkan oleh Jabatan Imigresen Selangor.

Seorang pengurus besar sebuah agensi pekerja asing telah direman selama dua hari sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan kes tersebut.

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) pada Ahad lalu pula menuntut penjelasan adakah serbuan sebegitu hanya dibuat terhadap agensi pekerja asing yang enggan berdaftar dengan Papa namun dinafikan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad semalam.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, Papa akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen dan polis bagi membendung kes pemerdagangan orang dan tidak akan sesekali melindungi agensi berdaftar di bawahnya jika terlibat dalam aktiviti tersebut.

"Untuk pengetahuan umum, Agensi Pekerjaan Sentosa Sdn. Bhd. merupakan bekas ahli Papa tetapi kerana tidak membayar yuran langganan tahunan selama beberapa tahun, mereka dianggap bukan lagi ahli. Syarikat itu merupakan ahli Pikap," katanya.


Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment