Wednesday, December 26, 2012

Nik Aziz puaskan nafsu politik


KUALA LUMPUR 23 Dis. - Kesediaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 disifatkan sebagai strategi memuaskan nafsu politik beliau sendiri.


Pengarah Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Noraini Ahmad Khalil Saperi berkata, Nik Aziz tidak akan bersara kerana terlalu taksub dengan jawatan Menteri Besar Kelantan yang disandangnya sekarang.

"Nik Aziz yang kini berusia 81 tahun masih mahu bertanding walaupun sering uzur.

"Nafsu politiknya masih belum puas dan agama digunakan sebagai alasan mengekalkan kuasa walaupun tidak mampu melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Noraini mengulas kenyataan Nik Aziz yang berhasrat mahu bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang meskipun ramai yang berharap beliau bersara daripada politik memandangkan keadaannya yang semakin uzur.

Menteri Besar Kelantan itu juga berdolak-dalik apabila ditanya tentang janji beliau mahu berundur daripada politik sekiranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbuat demikian.

Menurut Noraini, Nik Aziz akan memberi pelbagai alasan untuk kekal berkuasa di samping menjadikan agama sebagai topeng menyembunyikan nafsu politiknya.

"Sepanjang pengetahuan saya, belum ada di dunia ini seorang ulama tulen memasuki gelanggang politik atau memegang jawatan politik," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan sikap Nik Aziz yang sanggup membuat janji palsu, mengkafirkan saudara seagama dan memaki hamun sesama Islam semata-mata mahu mengekalkan kuasa politik dan kedudukan Menteri Besar Kelantan.

"Nik Aziz mahukan kuasa untuk nafsu diri sendiri dan bukan untuk berkhidmat kepada rakyat," jelasnya.

Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd