KUALA LUMPUR 10 Dis. - Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad menegaskan jabatannya tidak pilih bulu dalam menjalankan sebarang operasi dan serbuan terhadap agensi pekerja asing.
Menurut beliau, setiap operasi dan serbuan berdasarkan tiga asas utama iaitu aduan awam, risikan Imigresen serta kes-kes yang dikesan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam tanpa sebarang prejudis.
"Dakwaan yang diterima Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berhubung operasi Imigresen bersifat selektif adalah tidak benar dan tidak berasas.
"Jabatan Imigresen tidak bertindak berat sebelah dengan mana-mana persatuan pekerja asing. Sesiapa pun yang dikesan melanggar etika dan peraturan Imigresen akan dikenakan tindakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan JMM mengenai serbuan Imigresen hanya dibuat ke atas agensi yang enggan berdaftar dengan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa).
Dalam pada itu, Alias memberitahu, Imigresen tidak ada sebarang kepentingan dengan mana-mana pihak namun sentiasa bekerjasama dengan semua pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Papa dan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap).
Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete