Wednesday, October 6, 2010

Polis siasat The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Polis telah membuka kertas siasatan berhubung laporan yang dibuat Timbalan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Husin terhadap laman portal berita The Malaysian Insider dan seorang wartawannya yang dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 500 kerana memfitnah.

"Mengikut seksyen tersebut pihak yang didakwa memutar belit kenyataan Timbalan Pengarah BTN (Hamim) boleh dikenakan tindakan saman kerana memfitnah.

"Kita (polis) kini sedang mendapatkan perintah daripada Peguam Negara untuk memanggil wartawan terlibat bagi memberi keterangan.

"Kita juga akan panggil saksi-saksi iaitu mereka yang berada di dalam majlis itu untuk bantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Hamim membuat laporan polis terhadap The Malaysian Insider dan seorang wartawannya, dipercayai berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur perkauman dan menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Hamim membuat laporan itu di Balai Polis Sentul pada pukul 12.30 tengah itu sebelum bergegas pulang tanpa memberi sebarang ulasan mengenai kandungan laporan yang dibuatnya.

The Malaysian Insider didakwa membuat laporan berkenaan dengan menyalahtafsirkan kenyataan pegawai kanan BTN pada forum tertutup anjuran Pergerakan Puteri UMNO pada 27 September lalu.


No comments:

Post a Comment