Tuesday, October 5, 2010

Polis digesa dedah siasatan

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 1 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta mendedahkan status siasatan terhadap portal berita propembangkang, The Malaysian Insider berikutan laporan yang dibuat terhadapnya oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada awal bulan lalu.

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, ketiadaan sebarang tindakan terhadap portal berita itu menimbulkan tanda-tanya di kalangan rakyat.

Menurutnya, PDRM tidak pernah membuat hebahan berhubung status laporan berkenaan sehingga wujud tanggapan bahawa portal berkenaan amat 'kebal'.

Katanya, perkembangan berkenaan amat dikesali kerana The Malaysian Insider dilihat semakin galak memaparkan isu-isu yang boleh mengeruhkan keharmonian hidup masyarakat.

"Saya menggesa PDRM mendedahkan status siasatan kerana bahan bukti telah diserahkan oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) sewaktu membuat laporan.

"Kita tidak mahu masyarakat mempunyai pandangan negatif terhadap PDRM kononnya lambat bertindak apabila laporan dibuat oleh NGO, tetapi pantas pula bertindak apabila melibatkan laporan daripada parti pembangkang. Adakah portal berkenaan dilindungi pihak tertentu?" katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

JMM pada 7 September lalu membuat laporan polis dan mengemukakan bukti berhubung dakwaan terdapat hubungan istimewa antara portal berita propembangkang itu dengan tiga pemimpin kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang agresif melancarkan kempen anti-Malaysia di negara itu.

Laporan polis itu adalah rentetan cabaran Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim supaya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Malaysian Insider, Jahabar Sadiq menjelaskan hubungannya dengan pemimpin Bendera.

Beberapa hari sebelum JMM membuat laporan, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyatakan kesediaan PDRM untuk membuat siasatan jika menerima laporan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anuar meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meneliti semula gesaan yang dibuat oleh masyarakat berhubung pelbagai laporan bersifat provokatif oleh The Malaysian Insider.

Katanya, kebimbangan berkenaan telah mendapat perhatian Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, namun gesaan supaya SKMM bertindak yang disuarakan dengan tegas oleh beliau baru-baru ini juga bagaikan dipandang sepi.

"Apa lagi yang perlu rakyat buat? Jika siasatan sudah dimulakan oleh SKMM, sepatutnya badan tersebut menjelaskan statusnya. Jika belum mulakan siasatan, nyatakan apa masalahnya supaya semua orang tahu apa yang berlaku," tegasnya.

No comments:

Post a Comment