Wednesday, October 6, 2010

Melayu perlu sedar, bukan Melayu fahami sejarah Perlembagaan

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Pembentukan Malaysia adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memaktubkan orang Melayu diberi hak keistimewaan dengan persetujuan semua pihak.

Dengan persetujuan itu, hak keistimewaan orang Melayu tidak boleh dipertikai dan dibangkitkan oleh kaum lain.

Pengerusi Majlis Amal Islam Malaysia, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, persetujuan memberi hak keistimewaan kepada orang Melayu itu telah dipersetujui oleh bangsa Cina, India serta kaum minoriti lain di negara ini.

Menurutnya, pemberian itu tidak boleh diungkit lagi kerana sekiranya kaum lain hendak mengubah acuan kenegaraan Malaysia, maka ia hanya akan menimbulkan ketidakadilan kepada orang Melayu.

"Sekiranya kaum lain hendak mendapatkan kuasa politik di negara ini, kuasa bererti memberi keadilan kepada rakyat dan bukan untuk merampas hak Melayu.

"Acuan kenegaraan hari ini sudah cukup adil kepada orang Melayu dan bukan Melayu yang turut mendapat jaminan hak di negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam yang membidas sikap segelintir pihak yang ghairah memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikai hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.

Baginda juga membidas golongan 'cetek akal' dan hanya bercakap mengikut selera sendiri tanpa meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan Sultan Johor itu supaya semua pihak tidak membangkitkan isu hak keistimewaan Melayu.

''Sehubungan itu, saya meminta orang Melayu berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu mengikut Perlembagaan Persekutuan,'' katanya.

Tegas beliau, orang Melayu perlu sedar mengenai perkara tersebut dan bukan Melayu pula perlu insaf dan memahami sejarah pembentukan Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Razak Idris berkata, hak keistimewaan orang Melayu tidak boleh dijadikan isu untuk tujuan politik yang sempit.

"Masyarakat Malaysia harus tahu, hak dan kedudukan orang Melayu telah dijamin oleh perlembagaan dan perkara itu harus dihormati.

"Perkara ini tidak boleh dijadikan bahan untuk memupuk perasaan benci antara kaum di negara ini," jelasnya.

Tambah Mohamad Razak, adanya hak keistimewaan Melayu ini tidak bermakna negara mengamalkan sikap perkauman, malah semua pihak haruslah berusaha membantu satu sama lain tanpa mengira bangsa walaupun Cina, Melayu atau India.

Menurut beliau lagi, cubaan untuk melupakan hak-hak yang diperuntukkan kepada institusi diraja adalah sesuatu yang mengecewakan.

"Peranan institusi diraja sebagai ketua agama dan istiadat Melayu harus dikekalkan supaya kedudukan agama Islam tidak tergugat," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin turut menyokong titah Sultan Ibrahim.

"Hak keistimewaan orang Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

"Jika pindaan ingin dibuat dalam Perlembagaan maka ia perlulah dibuat dengan muafakat dan mendapat undian 2/3 Parlimen serta persetujuan Majlis Raja-Raja," katanya.

No comments:

Post a Comment