Thursday, September 6, 2012

Malaysiakini perlu perjelas dakwaan ejen pembangkang


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Ketua Pengarang portal berita Malaysiakini, Fathi Aris Omar digesa menjawab persoalan dan keresahan rakyat berhubung dakwaan mengaitkan portal itu sebagai ejen pembangkang.


Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, ini kerana portal itu sering kali melihat apa jua inisiatif kerajaan untuk pembangunan dan kebaikan rakyat sebagai negatif.

Ujarnya, ia jelas menampakkan sikap tidak profesional Malaysiakini termasuk ruangan Cartoonkini yang memaparkan bahan jenaka keterlaluan dan berniat jahat.


“Malaysiakini bukan sebuah portal berita yang profesional dan agenda mereka adalah untuk memburuk-burukkan kerajaan dan pemimpin. Jadi tak terkejut, apa sahaja kebaikan untuk rakyat akan dilihat negatif oleh Malaysiakini.

“Mereka ini agenda pembangkang dan menjadi barisan depan media pembangkang,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain Ketua Pengarang, Malaysiakini diketuai oleh Ketua Pengarang Kumpulan dan pengasas, Steven Gan.

Azwanddin berkata, daripada segala bahan berita serta artikel yang dihasilkan Malaysiakini, boleh disimpulkan portal itu sebagai alat pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan.