Thursday, September 6, 2012

Siapa harus bertanggungjawab?


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mahu tahu pihak yang sebenarnya bertanggungjawab dalam isu membabitkan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) jika ia dikatakan bukan terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, dalam pengetahuan pihaknya, hanya SSM agensi yang diwujudkan oleh kerajaan untuk menangani isu-isu membabitkan syarikat-syarikat dalam negara.


“JMM tidak pasti jika terdapat dua, tiga atau lebih agensi yang wujud untuk rakyat atau pertubuhan bukan kerajaan membuat sebarang pandangan serta laporan terhadap kesalahan undang-undang yang membabitkan syarikat.

“Jika isu membabitkan dana Suaram juga bukan di bawah bidang kuasa SSM, perkara ini perlu dijelaskan sebaik-baiknya kerana sudah tentu rakyat mahu mengetahui pihak mana dipertanggungjawabkan untuk bertindak secara proaktif bagi menangani isu seumpama ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang menjelaskan kes dana asing oleh Suaram bukan di bawah bidang kuasa SSM.

Menurut Azwanddin, selain isu dana yang masih tidak jelas status Suaram juga tidak diketahui kebenarannya dan perlu diperjelaskan kepada rakyat.

“Apakah Suaram ini syarikat, pertubuhan bukan kerajaan berdaftar atau sebenarnya pertubuhan haram? Perkara ini masih tidak dijelaskan kepada umum.

“Jika bukan SSM yang bertanggungjawab, pihak mana yang perlu dirujuk berhubung perkara ini dan kita juga meminta SSM mencadangkan pihak tersebut," katanya.

Pada masa sama, Azwanddin mencadangkan kerajaan mewujudkan sebuah badan lain yang boleh memantau syarikat-syarikat di negara ini selepas SSM dilihat tidak lagi proaktif dan efektif dalam memainkan peranan itu.