Thursday, September 6, 2012

Teks penuh laporan polis JMM mengenai artikel Malaysia Today


Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah (dua dari kiri) membuat laporan polis berhubung isu komplot mengenai artikel di laman Malaysia Today bertajuk The Day I Met Private Investigator P. Balasubramaniam yang menggugat ketenteraman dan keselamatan negara di Balai Polis Hulu Kelang, Selangor, semalam.

BERIKUT teks penuh laporan polis yang dibuat oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) di Balai Polis Hulu Kelang pukul 11 pagi ini


Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia hadir membuat laporan polis mengenai satu artikel di laman Malaysia Today yang bertajuk The day I met Private Investigator P. Balasubramaniam.

Di laman blog tersebut, Raja Petra telah membuat pendedahan bahawa bekas peguam Razak Baginda iaitu M. Puravalen, Ahli Parlimen Subang (PKR), R. Sivarasa dan P. Balasubramaniam terlibat dalam komplot untuk menggugat ketenteraman dan keselamatan negara pada 2008 bertempat di rumah M. Puravalen sendiri.

Komplot yang disebutkan oleh Raja Petra Kamaruddin boleh menjejaskan imej dan kredibiliti kepimpinan negara di kalangan masyarakat di dalam dan luar negara. Ini akan memberi kesan negatif kepada kestabilan politik yang akan menggugat ketenteraman dan keselamatan negara.

JMM meminta polis menyiasat bagaimana M. Puravalen boleh mendapat maklumat awal mengenai tujuan pihak polis untuk menangkap dan mendakwa Razak Baginda pada Oktober 2006. Maklumat ini adalah rahsia polis yang tidak sepatutnya diketahui orang awam seperti M. Puravalen. Bagaimana M. Puravalen boleh dapat maklumat awal rahsia polis dan menggunakan maklumat awal ini untuk menawarkan dirinya sebagai peguam Razak Baginda pada 2006.

Identiti personaliti yang memberi maklumat awal polis perlu disiasat, dikenal pasti dan diambil tindakan undang-undang terhadap dua-dua orang iaitu pemberi dan penerima maklumat. Jika ada pembocoran maklumat rahsia tangkapan polis maka ia akan menjejaskan kredibiliti PDRM.

JMM juga meminta pihak polis menyiasat motif dan tujuan M. Puravalen di mana pada Oktober 2006 beliau menawarkan diri untuk menjadi peguam bela Razak Baginda dan pada Julai 2008 pula beliau dikatakan terlibat dalam komplot memfitnah di atas kes yang sama.

P. Balasubramaniam dilantik dan dibayar oleh Razak Baginda hanya untuk jangka masa lima minggu sahaja pada 2006. Kita meminta polis menyiasat mengapa P. Balasubramaniam masih lagi terlibat dengan kes yang sama sehingga hari ini selepas enam tahun. Siapa yang melantik dan membayar beliau selama enam tahun ini? Bagaimana beliau menyara kehidupan dari tahun 2006 hingga 2012.

JMM meminta pihak polis dan Peguam Negara soal siasat semua individu yang disebutkan oleh Raja Petra Kamaruddin dan seterusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap individu-individu yang didapati bersubahat dalam komplot atau konspirasi untuk menggugat ketenteraman dan keselamatan negara.

No comments:

Post a Comment