Thursday, September 6, 2012

Penguatkuasaan SSM terhadap Suaram lemah


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Kegagalan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertindak terhadap penyelewengan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dianggap serius kerana ia memberi persepsi betapa lemahnya tindakan penguatkuasaan oleh agensi terbabit.


Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, kelemahan SSM itu juga menyimpang daripada wawasan kerajaan yang mahu transformasi dilaksanakan dalam perkhidmatan awam.

Menurutnya, SSM gagal mendukung wawasan itu apabila lambat bertindak ke atas Suaram yang mengaku menerima dana asing dan terlibat dalam aktiviti memburuk-burukkan kerajaan.

"Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Mohd. Naim Daruwish perlu memikul tanggungjawab atas kegagalan pihaknya bertindak terhadap Suaram.

"Sehubungan itu, saya mengulangi gesaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) agar Mohd. Naim meletak jawatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zamil mengulas desakan Pengerusi JMM, Azwanddin Hamzah dan Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim agar Mohd. Naim segera meletakkan jawatan kerana gagal menyiasat Suaram yang jelas menerima dana asing seperti yang diakui sendiri Pengarahnya, Dr. Kua Kia Soong.

Katanya, SSM sewajarnya menyiasat secara terperinci kegiatan Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif) yang dikaitkan dengan Suaram kerana syarikat tersebut didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965.

Jelasnya, tindakan itu perlu memandangkan segala transaksi kewangan Suaram dilakukan menerusi Suara Inisiatif.

"Sejak bila syarikat terbabit menerima taraf pertubuhan bukan kerajaan yang tidak berorientasikan keuntungan?," katanya.

Selain itu, kata Zamil, pihak berkuasa juga hendaklah menyiasat pihak-pihak asing yang menyalurkan dana kepada Suaram dan tujuan mereka berbuat demikian.