Thursday, September 6, 2012

JMM desak CEO SSM letak jawatan


PETALING JAYA 30 Ogos - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendesak Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd. Naim Daruwish meletak jawatan kerana gagal membuat siasatan terhadap pendedahan pertubuhan itu mengenai aktiviti Suara Rakyat Malaysia (Suaram).


Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, ini kerana JMM pada Julai lalu telah mendedahkan Suaram adalah sebuah syarikat di atas nama Suara Inisiatif Sdn. Bhd. hasil maklumat yang diperoleh dari SSM sendiri.


Namun, ujarnya, syarikat itu jelas 'berlagak' seperti sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menggunakan platform tersebut untuk menghentam kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Hasil pendedahan JMM pada 1 Julai lalu mengenai status sebenar Suaram dan desakan meminta SSM menyiasat Suara Inisiatif Sdn. Bhd., akhirnya penasihat Suaram, Dr. Kua Kia Soong mengaku Suaram menerima dana asing dari Amerika Syarikat, Finland dan Kanada.

''Tetapi, sejak kita dedahkan sehingga kini, SSM masih tidak menjalankan sebarang tindakan. Oleh itu, JMM desak Ketua Pegawai Eksekutif SSM letak jawatan kerana gagal membuat pemantauan dan siasatan,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas pengakuan Kia Soong bahawa Suaram menerima dana asing selain beberapa kerajaan negeri.

Bagaimanapun Kia Soong enggan mendedahkan siapa pemberi dan jumlah dana yang diterima Suaram selama ini.

Azwanddin berkata, selain letak jawatan, JMM turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu agensi baru kerana SSM dilihat tidak lagi efektif.

Dalam pada itu, beliau menggesa pihak berkuasa khususnya Jabatan Peguam Negara dan SMM di gesa menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) bagi menyiasat aktiviti Suaram.

Menurutnya, pengakuan Kia Soong jelas membuktikan wujudnya campur tangan asing yang mempunyai agenda tertentu untuk mencatur politik dalaman negara menerusi pergerakan pertubuhan itu.

''JMM menentang keras perbuatan individu atau kumpulan bersubahat dengan pengaruh asing yang melakukan gerakan terancang bagi menggugat kestabilan politik serta perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

''Dana asing yang diterima Suaram juga memperlihatkan kesungguhan mereka melibatkan pengaruh asing untuk turut sama bersubahat dalam agenda memfitnah melalui isu-isu yang dibawa pertubuhan tersebut yang selama ini berselindung di sebalik sebuah syarikat,'' katanya.

Tegasnya, siasatan di bawah AMLA perlu bagi mendedahkan sumber dana Suaram kerana setiap kemasukan dana asing seharusnya mendapat pengesahan daripada Bank Negara.