Sunday, August 12, 2012

Pejabat JMM dipecah masuk, fail isu Talam hilang


KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kehilangan satu fail yang mengandungi dokumen berkaitan isu hutang Talam Corporation Bhd. (Talam) dalam kejadian pecah masuk pejabat Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) di Dataran Sunway di sini semalam, menimbulkan tanda tanya.


Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, ini kerana dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, tiada satu pun barangan berharga seperti i-Pad, set televisyen, komputer dan mesin pencetak yang terdapat dalam premis tersebut dilarikan suspek melainkan fail yang mengandungi kira-kira 100 helaian dokumen itu.

"Saya tidak menuduh sesiapa, namun, bagi saya kejadian itu bukan kecurian biasa kerana hanya fail tersebut yang hilang dan bukannya barangan berharga.

"Malah, selepas JMM mendedahkan isu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil alih hutang Talam, dokumen tersebut dilihat menjadi amat bernilai bagi orang tertentu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Azwanddin pernah menggesa Pengurus Besar PKNS, Othman Omar menjelaskan mengenai resolusi pengambilan hutang Talam sebanyak RM392 juta daripada Kumpulan Hartanah Selangor Bhd. (KHSB), Universiti Selangor (Unisel) dan Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB).

Dalam pendedahannya baru-baru ini juga beliau turut mempersoalkan dakwaan pengambilalihan hutang Talam oleh ketiga-tiga anak syarikat PKNS itu pada kadar RM10 sahaja.

Menurut beliau, fail tersebut yang mengandungi dokumen kontrak, salinan kontrak serta salinan surat arahan pemimpin tertentu berkaitan isu Talam disimpan dalam laci di bilik setiausahanya.

Jelas Azwanddin, kejadian tersebut hanya disedari oleh rakannya yang datang ke pejabat itu selepas waktu berbuka puasa apabila melihat pintu premis itu dikopak serta keadaannya yang berselerak.

"Semasa kejadian, tiada kakitangan yang berada di pejabat kerana mereka keluar untuk berbuka puasa," ujarnya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara.

Sumber: Utusan Malaysia