Monday, April 16, 2012

Tetap kemuka usul larang LGBT di Parlimen

KUALA LUMPUR 14 April - Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim akan tetap berjuang mengikut prosedur yang ada bagi mengemukakan usul melarang golongan pengamal seks bebas serta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menjadi Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Jelas beliau, biarpun usul itu ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, beliau akan cuba membawa usul tersebut semula pada penggal sidang Dewan Rakyat Jun ini.


"Saya sudah bagi rasional atas peraturan mesyuarat dan keputusan penolakan usul itu telah dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada saya.

"Bagaimanapun saya akan membuat tindakan susulan mengikut peraturan mesyuarat dan cuba membawa semula usul itu pada penggal akan datang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Pada 5 April lalu, Zahrain mengemukakan usul tergempar bagi melarang pengamal seks bebas dan songsang terutama golongan LGBT menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara namun ditolak mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (2) dan 23 (1)(c).

Semalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Pandikar Amin meletakkan jawatan berikutan tindakan menolak usul tersebut.

Menurut Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, tindakan Pandikar Amin itu mengecewakan rakyat Malaysia yang menolak pengamal seks bebas bagi mewakili suara mereka di Parlimen.

Dalam pada itu, Zahrain berkata, beliau enggan mengulas desakan NGO tersebut kerana ia dibangkitkan sendiri oleh NGO berkenaan dan tidak melibatkannya.

"Saya tidak mahu komen, terpulang kepada mereka, saya akan membuat tindakan susulan mengikut prosedur sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Pandikar Amin gagal dihubungi bagi mengulas isu tersebut.

No comments:

Post a Comment