Monday, April 16, 2012

JMM, NGO terus perhimpunan LGBT jika gagal dapat permit

KUALA LUMPUR: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain tetap meneruskan Perhimpunan Rakyat Membantah Seks Bebas & Golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Dataran Merdeka, 21 April ini jika gagal mendapatkan permit.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah, bagaimanapun berharap permohonan permit dan kertas cadangan untuk menganjurkan perhimpunan berkenaan yang dihantar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, akan diluluskan dalam tempoh terdekat.

"Kami yakin PDRM akan memberi kebenaran untuk kami meneruskan perhimpunan itu. Mengapa tidak, kerana permit sama boleh dikeluarkan ketika Perhimpunan 901 Kempen Bebas Anwar Ibrahim yang lalu.

"Bagaimanapun, sekiranya polis tidak memberi kelulusan, kami sudah sepakat untuk terus mengadakan perhimpunan berkenaan di lokasi yang sama (Dataran Merdeka) seperti dirancang," katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, semalam.

Azwanddin ditemui selepas menyerahkan surat permohonan mendapatkan permit penganjuran perhimpunan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, semalam bersama Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd Jurit Ramli.

Hadir sama, Yang Dipertua (YDP) Gabungan Persatuan Ibu, Bapa & Guru (PIBG) Wilayah Persekutuan, Mohd Iqbal Yusuf; Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim.

Katanya, lebih 10,000 orang mewakili pelbagai NGO, termasuk pelajar dari seluruh negara akan menyertai perhimpunan terbabit bagi membantah kegiatan seks bebas dan LGBT yang dianggap satu ancaman kepada negara dan semua agama.

"Selain itu, kita juga tidak mahu masa depan negara dan anak-anak kami akan ditentukan oleh pemimpin yang mengamalkan kegiatan biseksual dan mendokong aktiviti LGBT," katanya.