Monday, April 16, 2012

NGO boleh anjur perhimpunan aman

IPOH: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini dibenar mengadakan perhimpunan jika pihak terbabit boleh meyakinkan polis perhimpunan yang diadakan tidak menyusahkan orang ramai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan tidak akan menyekat perhimpunan seumpama itu jika ia menepati syarat, terutama tidak menimbulkan kekacauan.



"Bagi saya apa yang penting akta yang baru kita luluskan... mengenai Akta Perhimpunan Aman 2011 adalah perkara yang kita pegang. Saya sudah cakap sebelum ini, jika nak berhimpun kita tidak akan sekat, tetapi jangan menyusahkan orang ramai.

"Ini juga memerlukan persefahaman dan kebertanggungjawapan daripada penganjur. Jika pihak BERSIH (Perhimpunan BERSIH 3.0) juga ingin melakukan sesuatu (perhimpunan) mereka kena yakinkan pihak polis bahawa apa dan di mana mereka nak berhimpun tidak menyusahkan orang ramai, maka orang lain juga terikat dengan syarat yang sama," katanya selepas perasmian Himpunan Barisan Nasional (BN) Pilihan Orang Muda di Kediaman Menteri Besar Perak, di sini, semalam yang menghimpunkan lebih 10,000 generasi muda.

Hishammuddin mengulas mengenai tindakan BERSIH yang bercadang mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April ini, manakala Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan beberapa NGO lain pula akan meneruskan Perhimpunan Rakyat Membantah Seks Bebas dan Golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di tempat sama 21 April ini jika mereka gagal mendapatkan permit.

Terdahulu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, perhimpunan yang berjaya mengumpulkan lebih 10,000 generasi muda itu menggambarkan permulaan kepada pelan transformasi politik BN.

No comments:

Post a Comment