Monday, April 16, 2012

NGO mohon permit berhimpun

KUALA LUMPUR 13 April - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat permohonan untuk berhimpun secara aman bagi membantah usaha terancang pihak tertentu menjayakan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta seks bebas di negara ini.

Permohonan itu dibuat pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Gabungan NGO Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) mewakili 30 buah sekolah di Lembah Klang dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) kira-kira pukul 3 petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.


Perhimpunan tersebut dijangka disertai lebih 10,000 ahli NGO dan mahasiswa di Dataran Merdeka, di sini pada 21 April depan.

Menurut Presiden JMM, Azwanddin Hamzah, permohonan tersebut dibuat seminggu sebelum perhimpunan, mengikut prosedur sedia ada serta bersetuju dengan peraturan keselamatan yang ditetapkan.

"Saya dimaklumkan keputusan akan diketahui dalam tempoh seminggu ini. Saya yakin pihak berkuasa dapat menimbang permohonan ini sewajarnya.

"Sekiranya permit berhimpun tidak diluluskan, kami sepakat untuk terus berhimpun demi kepentingan akhlak generasi muda," katanya.

Azwanddin akan mendedahkan NGO tempatan yang menerima dana daripada pertubuhan Lesbian, Gay, Biseksual, Trans dan Interseks Antarabangsa (Ilga) bagi mempromosikan gaya hidup LGBT, seks bebas serta perkahwinan sejenis di negara ini.

Katanya, pihaknya tidak menentang orang dilahirkan 'lembut', tetapi menentang pihak yang merancang menjadikan kebebasan seks sebagai budaya seperti Ilga kerana ia jelas bertentangan dengan cara hidup masyarakat di negara ini.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan syarat utama yang dikenakan bagi setiap permit perhimpunan ialah mesti daripada sebuah pertubuhan yang didaftarkan.