KUALA LUMPUR 13 April - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan kerana menolak usul melarang golongan pengamal seks bebas serta lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) menjadi Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Menurut Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, tindakan Pandikar Amin itu amat mengecewakan rakyat yang sama sekali menolak mana-mana pengamal seks bebas bagi mewakili suara mereka di Parlimen.
Katanya, tindakan itu seolah-olah memperakui golongan LGBT layak muncul sebagai penggubal undang-undang serta pemimpin di negara ini, yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.
"Kita kesal kerana beberapa rakan Ahli Parlimen telah mengusulkan perkara itu (menolak pemimpin LGBT) namun ditolak oleh Pandikar Amin.
"Kami mendesak Pandikar Amin meletak jawatan serta-merta kerana mengundang malapetaka besar ke atas negara apabila beliau menolak usul melarang pengamal seks bebas dan LGBT menjadi Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar permohonan permit polis bagi mengadakan Perhimpunan Aman Rakyat Bantah Seks Bebas dan LGBT di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Pada 5 April lalu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengemukakan usul tergempar bagi melarang golongan yang mengamalkan budaya serta tabiat songsang, terutamanya golongan LGBT daripada menjadi Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Namun, ia ditolak oleh Pandikar Amin menggunakan Peraturan Mesyuarat 18 dan 23 yang antara lain mengklasifikasi usul itu sebagai remeh.
Dalam pada itu, Azwanddin menambah, agenda penyebaran seks bebas serta LGBT yang dilaksanakan secara sulit dan terancang oleh beberapa pihak berkepentingan kebelakangan ini merupakan ancaman serius kepada negara dan semua agama.
"Kita tidak mahu Malaysia jadi seperti Israel yang mesra kepada golongan seks bebas serta LGBT dan tidak mahu masa depan anak-anak bangsa Malaysia dan masa depan negara ditentukan oleh pemimpin biseksual dan mendokong LGBT,'' katanya.
No comments:
Post a Comment