Thursday, January 5, 2012

Kesaksamaan hubungan sejenis ancaman negara

Katanya, tuntutan itu adalah cubaan untuk memusnahkan negara ini dengan menanamkan pemikiran bahawa semua pihak boleh melakukan apa saja atas nama hak asasi manusia dan mengetepikan norma kehidupan masyarakat beragama di negara ini.

"Ini bukan main-main tapi ancaman yang boleh meruntuhkan negara, terutama anak muda pada masa depan. Apakah kita mahu menjadi seperti negara yang menghalalkan perkahwinan sejenis? Kenapa sekarang tiba-tiba pelbagai isu mengenai golongan sesama jenis ini timbul?"



KUALA LUMPUR: Kecenderungan pihak tertentu mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang yang menghalang hubungan sesama jenis, dilihat sebagai ancaman besar kepada Perlembagaan negara berteraskan Islam serta nilai murni ketimuran.

Kecenderungan itu jelas apabila beberapa pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa mula menyuarakan mengenai kesaksamaan hak golongan lesbian, gay dan transgender (LGBT) ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal berdepan keputusan mahkamah berhubung tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Isnin ini.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, berkata pihak terbabit mempunyai agenda jahat untuk `melanggar' peruntukan Seksyen 377 Kanun Keseksaan, yang melarang amalan seks songsang, termasuk pelakuan liwat dan lesbian.

Katanya, tuntutan itu adalah cubaan untuk memusnahkan negara ini dengan menanamkan pemikiran bahawa semua pihak boleh melakukan apa saja atas nama hak asasi manusia dan mengetepikan norma kehidupan masyarakat beragama di negara ini.

"Ini bukan main-main tapi ancaman yang boleh meruntuhkan negara, terutama anak muda pada masa depan. Apakah kita mahu menjadi seperti negara yang menghalalkan perkahwinan sejenis? Kenapa sekarang tiba-tiba pelbagai isu mengenai golongan sesama jenis ini timbul?" katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pihak, termasuk Persatuan LGBT Antarabangsa (ILGA), meminta kerajaan menganjurkan semula program Seksualiti Merdeka yang mempromosikan kesedaran di kalangan LGBT atas alasan kononnya ia melambangkan budaya Asia".

Human Rights Watch juga mengeluarkan kenyataan di New York yang mendesak Kerajaan Malaysia memansuhkan undang-undang mengharamkan hubungan sesama jenis kerana disifatkan ketinggalan zaman selain meminta pihak berkuasa menggugurkan tuduhan liwat ke atas Anwar.

Dalam kenyataan bertarikh 22 Disember lalu, Timbalan Pengarah Human Rights Watch Asia, Phil Robertson, berkata Malaysia menggunakan undang-undang liwat ketinggalan zaman untuk memfitnah lawan politik selain menegaskan sama ada Anwar melakukan liwat atau tidak, ia tidak relevan kerana undang-undang sedia ada mendiskriminasi individu dari segi orientasi seksual.