Thursday, January 5, 2012

Beri bukti Shahrizat terbabit

JMM cabar Saifuddin, Rafizi, dakwa pembangkang kehausan isu 

“Saya juga meminta Saifuddin Nasution dan Rafizi mendesak Datuk Nik Aziz Nik Mat meletak jawatan kerana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas menantunya, Abdul Ariffahmi Ab Rahman yang juga berkaitan dengan Menteri Besar Kelantan itu,”


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail dan Pengarah Strategi parti itu, Rafizi Ramli diminta mengemukakan bukti pembabitan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam isu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).
Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, berkata jika kedua-dua mereka enggan menunjukkan bukti pembabitan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, mereka harus minta maaf kepada Shahrizat.
“Saya meminta Saifuddin Nasution dan Rafizi membuktikan pembabitan Shahrizat dalam keputusan yang dibuat Lembaga Pengarah NFC dan juga beri bukti jika ada pembabitan kementerian beliau (Shahrizat)... saya cabar mereka pasti tak akan dapat buktikan. 

“Kalau tak dapat buktikan, mereka perlu meminta maaf dan jika enggan minta maaf, maka Saifuddin Nasution dan Rafizi wajar meletak jawatan,” katanya dalam SMS kepada Berita Harian, semalam. 

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang secara terbuka mendesak Shahrizat yang suaminya Pengarah NFC Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, supaya meletak jawatan kerana mendakwa terbabit dalam penyelewengan operasi pusat ternakan lembu itu. 

Azwanddin berkata, pembangkang cuba mengetengahkan perkara itu kerana kehausan isu selain mahu mengalihkan perhatian rakyat daripada memberi tumpuan kepada tuduhan liwat yang dihadapi Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Saya juga meminta Saifuddin Nasution dan Rafizi mendesak Datuk Nik Aziz Nik Mat meletak jawatan kerana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas menantunya, Abdul Ariffahmi Ab Rahman yang juga berkaitan dengan Menteri Besar Kelantan itu,” katanya. 

Isu menantu Nik Aziz itu timbul selepas SPRM menyerbu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dua kali untuk menyiasat dakwaan surat layang berhubung tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan mempersoalkan pelantikan ahli keluarga terdekat menerajui syarikat milik kerajaan yang mempunyai peranan begitu besar, dua tahun lalu. 


Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment