Thursday, November 3, 2011

Perpaduan Islam tanpa batasan geografi

RASULULLAH SAW sangat menitik beratkan perpaduan dalam menyebarkan dakwah Islamiah. Ia bertepatan dalam sabda baginda yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebab itu, tindakan pertama yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sebaik tiba di Kota Madinah adalah mendirikan masjid yang kini dikenali sebagai masjid Quba.




Walaupun binaannya hanya tembok batu bata yang diperbuat daripada tanah liat dengan berlantaikan pasir, ia bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat tetapi memainkan peranan penting sebagai pusat perpaduan ummah di Madinah.

Kepentingan perpaduan umat Islam tanpa batasan geografi inilah yang ditekankan oleh Ketua Pimpinan Pusat Pemuda Muhammadiyah Indonesia, Dr. Salleh P. Daulay.

Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia boleh berperanan sebagai peneraju negara-negara Islam dunia sekiranya bersatu padu dan saling bersefahaman antara satu sama lain.

Katanya, persamaan dalam pelbagai aspek seperti budaya, bahasa dan agama memudahkan kedua-dua negara menjalin hubungan dan melakukan sebarang urusan.

"Jika digabungkan kemajuan teknologi dan kemahiran tenaga pakar yang ada pada kedua-dua negara, pasti kita mampu mewujudkan dunia Islam yang mempunyai kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya.
Beliau berkata demikian pada forum Cabaran dan Harapan di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Forum selama lima hari yang bermula 24 Oktober itu adalah antara pengisian Program Pertemuan Serantau One Region.

Tujuan utamanya mengeratkan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.

Forum dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Ma'amor Osman.
Tiga lagi ahli panel ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM),Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela),Dr. Yusri Mohamad dan Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara (GBN), Sapto Waluyo.

Turut hadir, Presiden JMM, Azwanddin Hamzah, dan Pengerusi Sekretariat Serantau, Datuk Seri Zamzamin Hashim selain 60 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media Indonesia dan Malaysia.

Bagi memantapkan ukhuwah dan persefahaman antara kedua-dua negara, Dr. Salleh mencadangkan diwujudkan program pertukaran pendakwah.

Katanya, program sebegini bermatlamat serampang dua mata kerana selain berdakwah, ia dapat menyebarkan ilmu terutama kepada penduduk Indonesia yang jumlahnya ramai.

Beliau menegaskan, antara punca krisis yang sering berlaku antara Malaysia dan Indonesia adalah kemiskinan dan tidak berpelajaran.

"Apabila seseorang individu itu miskin atau tidak berpelajaran, dia akan melakukan apa sahaja walaupun bertentangan dengan ajaran agama dan undang-undang," jelasnya.

Beliau mengulas insiden terbaru protes oleh rakyat Indonesia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 12 Oktober lalu.

Penunjuk perasaan berhimpun di depan kedutaan bagi menyatakan bantahan terhadap Malaysia yang kononnya didakwa mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat.

Aksi tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh NGO, Forum Betawi Rempug (FBR) mencetuskan ketegangan sehingga menyebabkan lampu pecah serta kerosakan di pagar bangunan tersebut di Jalan Rasuna Said.

Sementara itu, Zainul Rijal berkata, semangat persefahaman adalah kunci utama kepada hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia.

Katanya, melalui semangat itu, segala permasalahan sama ada besar atau kecil akan dapat ditangani secara rundingan.

Menurutnya, walaupun dasar kehakiman di Malaysia dan Indonesia berlainan, tetapi tujuannya sama iaitu mengadili dan mendamaikan konflik yang berlaku.

"Jadi, apabila rakyat Indonesia diadili oleh undang-undang Malaysia jangan ada pihak yang campur tangan. Begitu juga sebaliknya bagi kes perbicaraan rakyat Malaysia di Indonesia," jelasnya.

Sehubungan itu, Zainul Rijal berkata, para peguam, NGO, pendakwah dan media perlu mengadakan perbincangan untuk memikirkan langkah yang perlu diambil serta kaedah mengelakkan isu sensitif antara kedua negara berlaku.

Seorang lagi ahli panel, Dr. Yusri berkata, persaingan yang semakin sengit antara negara serantau dalam semua aspek mengakibatkan semangat kesatuan antara negara menjadi terhakis.

Katanya, hal itu mendorong rakyat menjadi berat sebelah dengan menyebelahi negara masing-masing tanpa mengkaji isu sebenar yang berlaku.

"Setiap kali timbul isu antara negara, maka timbul juga suara yang ingin cuba menentang dengan mengambil tindakan sendiri sehingga menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Yayasan Sofa, berkata, kesepakatan dua negara perlu dikaji semula untuk sama-sama memastikan dan meletakkan nilai kesepakatan yang sama supaya tidak berlaku kejadian protes lagi.

Mengulas perbincangan itu, Dr Ma'amor berkata, Malaysia dan Indonesia perlu menjalin hubungan antara negara yang erat dan mencungkil segala permasalahan yang berlaku bermula dari akar umbi agar dapat diatasi dengan baik.

"Saya berharap, melalui program ini kita dapat merangka inisiatif yang berkesan dalam menyatukan antara rakyat Malaysia dan Indonesia di samping menyelesaikan segala masalah yang berlaku," katanya.

Menurut Dr. Ma'amor, kurangnya pengetahuan masyarakat terutama generasi baru mengenai hubungan sejagat antara kedua-dua negara adalah punca kepada perselisihan pendapat yang sering berlaku.

"Oleh itu, kita harap sejarah Malaysia dan Indonesia dapat dibukukan dan diajar di sekolah supaya dapat memupuk semangat kerakyatan dan memahami istilah masyarakat serumpun.

"Organisasi khas juga perlu ditubuhkan bagi menjadi rujukan kepada syarikat atau individu yang ingin menjalankan hubungan bersama kedua belah negara sama ada untuk menjalankan kegiatan perniagaan, usahasama dan sebagainya," katanya.

No comments:

Post a Comment