Wednesday, November 2, 2011

Media jambatan pemahaman hubungan Malaysia-Indonesia

"Kita sudah dijarakkan dengan bahasa. Justeru, adalah perlu bagi kita untuk memastikan nilai bahasa Melayu serantau tidak hilang agar kita tidak menghadapi masalah,"


Johan Jaaffar bercakap semasa membentangkan kertas kerja pada forum Pertemuan Serantau OneRegion di Hotel Royal Chulan,Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR 25 Okt. - Media memainkan peranan penting dalam mewujudkan jambatan pemahaman bagi memastikan hubungan antara Indonesia dan Malaysia terus kekal mesra dan aman.


Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar berkata, ia juga bagi mengelak kekeliruan rakyat kedua-dua buah negara dalam memahami sesuatu isu berbangkit agar tidak menimbulkan sensitiviti.

Malah kata beliau, rakyat di kedua-dua negara kini bukan mengalami masalah persepsi, sebaliknya gagal memahami beberapa aspek, antaranya membabitkan bahasa.

"Interaksi melalui bahasa yang difahami amat perlu bagi mengatasi krisis pemahaman yang kritikal ketika ini.
"Kita sudah dijarakkan dengan bahasa. Justeru, adalah perlu bagi kita untuk memastikan nilai bahasa Melayu serantau tidak hilang agar kita tidak menghadapi masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membincangkan peranan media pada sesi Dinamika Serantau Program Pertemuan Serantau OneRegion di sini, hari ini.

Turut membincangkan topik berkenaan adalah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Ketua Pengarang AntaraNews, M. Saiful Hadi.

Johan yang merupakan Pengerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) berkata, satu inisiatif perlu digerakkan melalui penubuhan konsortium pemikiran yang menggabungkan para ilmuwan dan wartawan dalam usaha mencari jalan terbaik ke arah meningkatkan pemahaman tersebut.

Beliau berkata, ia perlu diwujudkan agar isu-isu sensitif seperti isu perbatasan yang menyebabkan rakyat Indonesia berdemontrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Indonesia yang berlaku baru-baru ini dapat dijelaskan dengan sewajarnya.

Ini kerana kata beliau, demonstrasi seperti itu telah membuatkan rakyat negara ini keliru sama ada refleksi sebenar rakyat Indonesia atau ia hanya sebahagian daripada kelompok kecil di negara itu yang tidak berpuas hati.

Katanya, media harus memainkan peranan mengatasi kekeliruan tersebut dan bukan menghangatkan lagi isu.
"Saya percaya kepada kebebasan media tetapi ia perlu diiringi dengan tanggungjawab berat kerana jika kita menulis sesuatu berita, ia patut diselidiki sama ada akan mengguris hati rakyat (Indonesia dan Malaysia) atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, Aziz berkata, media perlu mengawal sentimen rakyat bagi memastikan kesejahteraan hubungan antara kedua-dua negara.

Katanya, media berperanan membentuk kekuatan dan landskap hubungan strategik bagi memastikan hubungan kedua-dua negara menjadi lebih kukuh pada masa hadapan.

M. Saiful pula berkata, media harus menjadi medium untuk mengukuhkan hubungan serantau dan bukan bertindak sebaliknya.

Bagaimanapun, kata beliau, apabila kerajaan Indonesia memberi kebebasan sepenuhnya kepada media di negara itu, media elektronik menjadi ekstrem dengan melaporkan apa sahaja demi mengejar rating.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment