Monday, October 31, 2011

PPSMI: Dengarlah Rayuan Daripada Ibu Bapa

PETALING JAYA,31 Okt : Rayuan online yang dikemukakan oleh orang ramai melalui online menunjukkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu dilihat semula, kata Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (Page).




Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata ramai ibu bapa mahu dasar berkenaan diteruskan.

Hal ini kerana, mereka telah mewujudkan kelab di laman sosial Facebook, yang dikenali sebagai, '1M Malaysia Ya kepada PPSMI sebagai satu PILIHAN' serta kewujudan beberapa laman blog yang lain yang menyatakan sokongan masing-masing.

Sehingga 8.30 malam Ahad, seramai 94,000 telah mendaftar sebagai ahli kelab berkenaan.

Pada masa yang sama, Noor Azimah turut menghargai kebimbangan yang diluahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kekurangan guru mahir dalam Bahasa Inggeris di sekolah.

“Bagaimanapun, guru sepatutnya boleh mengajar dalam kedua-dua bahasa kerana mereka telah mengajar subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris sejak dasar PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003,”katanya.

Jelasnya, jumlah sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya adalah kecil, justeru mudah bagi pihak kerajaan menyediakan guru di tempat berkenaan.

Tambahnya, perkara tersebut perlu diketengahkan dengan segera dan bukannya tidak diendahkan oleh pihak kerajaan.

Bagi mendapatkan sokongan daripada orang ramaiu PAGE telah membuka laman web, Ya kepada PPSMI.
Bukan itu sahaja, kumpulan berkenaan akan turut menyerahkan surat rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di pejabatnya di Putrajaya pada Isnin sebagai tanda sokongan ibu bapa yang mahu dasar PPSMI diwujudkan semula.

Dalam pada itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata Muhyiddin perlu mengadakan perbincangan dengan PAGE dan JMM sebelum membuat keputusan akhir dalam isu PPSMI.
“Kami (JMM dan PAGE) bukan membuat bantahan ini untuk kepentingan peribadi, tapi untuk semua ibu bapa di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Seitausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng berkata beliau tidak menafikan kepentingan Bahasa Inggeris namun pihak sekolah menghadapi masalah untuk melaksanakan sistem dwi bahasa di sekolah.

“Pelaksanaan Bahasa Melayu dan pengukuhan Bahasa Inggeris (MBM-MBI) serta melaksanakan dasar PPSMI di sekolah memerlukan kos yang sangat besar serta perubahan struktur pengajaran di sekolah.

“Saya menyokong fakta bahawa PPSMI mampu mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar, namun dalam kes ini kita perlu melihat kepada statistik dan maklum balas daripada semua pihak yang menunjukkan tidak semuapelajar boleh mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Dipetik dari mStar Online