Monday, October 31, 2011

Tiada kompromi berhubung amanah rakyat - JMM

"Rakyat kini bukan bodoh tetapi cerdik. Justeru, melengkapkan diri dengan mendekati ajaran agama merupakan garis panduan asas yang berkesan bagi menghindari tuntutan nafsu mereka"

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Kerajaan digesa supaya tidak berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan kementerian serta agensi yang terbukti menyeleweng atau melanggar prosedur belanjawan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.




Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah (gambar) berkata, kerajaan perlu serius dalam memastikan amanah rakyat diterjemahkan dengan telus dan berhemah.





"Ini merupakan perjuangan semua pihak, khususnya tenaga kerja dan pentadbir di dalam kerajaan. Kakitangan kerajaan perlu menjalankan setiap amanah yang diberikan kepada mereka secara telus serta menyakinkan semua pihak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

 Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa kerajaan telah mewujudkan satu sistem khas berkonsepkan semak dan imbang bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyelewengan seperti yang dikemukakan laporan tersebut.

 Ujar Azwanddin, selain itu, setiap warga kerja kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu melengkapkan diri mereka dengan sikap bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.

Beliau turut menggesa pihak-pihak tersebut supaya memperkukuhkan diri masing-masing dengan asas agama supaya tindakan mereka tidak terpesong daripada akidah Islam.

 "Rakyat kini bukan bodoh tetapi cerdik. Justeru, melengkapkan diri dengan mendekati ajaran agama merupakan garis panduan asas yang berkesan bagi menghindari tuntutan nafsu mereka.

"Tindakan disiplin terhadap mereka yang terlibat perlu diambil segera bagi menunjukkan ketegasan kerajaan membendung gejala penyelewengan tersebut," ujarnya