Tidak dinafikan peristiwa tunjuk perasaan oleh dua kumpulan rakyat Indonesia iaitu Forum Betawi Rempug (FBR) dan Laskar Merah Putih (LMP) di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, baru-baru ini cukup mengguris hati rakyat Malaysia.Kejadian itu bukan yang pertama. Tahun lalu pelbagai insiden sehingga ke tahap membaling najis ke pejabat kedutaan. Begitu juga gerakan ‘sweeping’ warga Malaysia oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) ekoran tidak puas hati dengan penahanan tiga pegawai penguat kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia.
Justeru banyak pihak melihat penganjuran program Pertemuan Serantau One Region Rabu dan Khamis lalu di Kuala Lumpur sebagai langkah tepat ke arah menjalin hubungan lebih erat antara kedua-dua negara.
Ia melibatkan pertemuan antara wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini dengan pertubuhan-pertubuhan besar di Indonesia seperti Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama (NU). Pertemuan juga berlaku antara pengamal-pengamal media.
Apa yang boleh dirumuskan program tersebut boleh dijadikan titik permulaan bagi meningkatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Indonesia yang selama ini hanya terbentuk di peringkat kerajaan dengan kerajaan sahaja.
Bagi menyelami hasil program itu wartawan Mingguan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD dan jurufoto, ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN menemui tiga wakil dari Indonesia bagi mendapatkan pandangan. Mereka yang ditemui Ketua Pimpinan Pusat Pemuda Muhammadiyah, Rifma Ghulam Dzaljad; Setiausaha Agung Umum Pimpinan Pusat Fatayat, NU, Siti Masrifah MA M. Sya‘roni dan Naib Ketua Umum Gerakan Pemuda Ansor, NU, Muhammad Yunus Razak.
Kesimpulannya, mereka percaya Islam boleh menjadi wadah untuk penyatuan umat kedua-dua negara kerana kedudukannya yang mengatasi ideologi politik, bangsa, keturunan dan geografi.
MINGGUAN: Sejauh mana saudara melihat keakraban hubungan antara Malaysia dan Indonesia?
Rifma Ghulam Dzaljad: Sekalipun hubungan antara Indonesia dan Malaysia ada pasang surutnya tetapi secara umumnya landasan sejarahnya amat kukuh. Ia diperkuatkan lagi dengan wujudnya hubungan serumpun dan satu agama. Dengan kata lain hubungan antara rakyat Indonesia dan Malaysia terikat dengan persaudaraan sesama Islam. Oleh itu sekiranya ada permainan-permainan kecil yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu, saya yakin dengan semangat persaudaraan ini segala isu yang ditimbul boleh diselesaikan dengan baik.
Mungkin ada saranan kerjasama dalam bentuk lain bagi meningkatkan lagi keakraban yang sedia terjalin?
Rifma: Ya, kelmarin kami daripada Pemuda Muhammadiyah dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) bersetuju mengadakan kerjasama untuk menyiarkan mengenai hubungan antara Indonesia dan Malaysia dalam era dahulu, sekarang dan akan datang di media elektronik . Dalam usaha ini kita akan mendapatkan khidmat tokoh-tokoh daripada kedua-dua negara termasuk tokoh-tokoh Islam untuk bersiaran di dalam rancangan tersebut. Secara rutin ia akan ditayangkan di siaran televisyen di Indonesia dan Malaysia. Ini bagi meningkatkan kefahaman rakyat tentang hubungan Indonesia dan Malaysia.
Kedua, kita akan mengadakan latihan kepimpinan khususnya untuk generasi muda kerana mereka bakal menjadi pemimpin di kedua-dua negara. Kita selama ini hanya aktif di peringkat organisasi sahaja. Oleh itu usaha ini perlu diperluaskan agar sahabat-sahabat kita di Malaysia turut menerima manfaatnya. Dari segi kemudahan untuk latihan dan pembelajaran tidak ada masalah kerana di peringkat organisasi kita, Muhammadiyah yang kini keahliannya dianggarkan 40 juta orang mempunyai pendidikan di peringkat dasar iaitu sekolah rendah dan menengah hingga ke tahap perguruan di peringkat tertinggi. Perguruan peringkat tertinggi sahaja kita ada 1,000 buah di seluruh Indonesia. Oleh itu alangkah baiknya jika kita melakukan latihan bersama sama ada di Jakarta atau di Kuala Lumpur. Kita boleh bertukar-tukar kemahiran. Saya yakin dengan langkah ini kita mampu melahirkan seorang pemimpin yang baik.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp
No comments:
Post a Comment