Thursday, November 3, 2011

Godam: Beri ruang MBMMBI, lupakan PPSMI

Bukan saja kalangan wartawan, sesetengah menteri Kabinet, turut sama mahu PPSMI dihidupkan semula, sedangkan mereka terbabit sama pada mesyuarat Kabinet sebelum PPSMI dimansuhkan selepas beberapa kajian dan rundingan yang membabitkan sama pakar bidang. 

NAMPAKNYA isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih sengaja diperpanjangkan, meskipun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, sudah meminta ia segera dihentikan. 


Bagi mereka yang mengikuti perkembangan tuntutan yang digerakkan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dapat menilai matlamat di sebalik ‘perjuangan’ memartabatkan PPSMI.


Mereka mendapat sokongan padu daripada akhbar berbahasa Inggeris dan rakyat Malaysia yang taksub bahawa bahasa Inggeris mampu melakukan segala macam keajaiban dalam kehidupan diri, anak dan cucu-cicit mereka pada masa lalu, sekarang dan masa depan!


Tertangkap juga wartawan dari akhbar berbahasa Inggeris yang membuat liputan sidang akhbar kenyataan 49 badan bukan kerajaan (NGO) yang menolak PPSMI dengan kenyataan, “Em ... kita tulis berita yang menidakkan mereka itu ....” bisik mereka sesama sendiri sambil tersenyum sinis. 



Bukan saja kalangan wartawan, sesetengah menteri Kabinet, turut sama mahu PPSMI dihidupkan semula, sedangkan mereka terbabit sama pada mesyuarat Kabinet sebelum PPSMI dimansuhkan selepas beberapa kajian dan rundingan yang membabitkan sama pakar bidang. 



Kelemahan penguasaan bahasa Inggeris pelajar dijadikan alasan PPSMI perlu dimartabatkan oleh mereka yang mendewa-dewakan bahasa Inggeris sehingga menutup pintu hati dan fikir akan hakikat bahawa kedua-dua subjek itu lebih banyak membabitkan simbol dan bukan penguasaan bahasa! 



Jika benar mereka mahu bahasa Inggeris pelajar ditingkatkan, maka jawapan pada permasalahan terbabit ialah penekanan kepada subjek Bahasa Inggeris dan Sastera Inggeris sejak di sekolah rendah dengan olahan pengajaran yang menerbitkan rasa yakin, selesa, puas lagi gembira ketika berbahasa. 

Mengapa kelompok yang mendewa-dewakan bahasa Inggeris ini enggan memberi ruang kepada pelaksanaan Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan yang sudah direncanakan Kementerian Pelajaran bagi menggantikan PPSMI? 



Apakah kelompok ini bimbang akan lebih ramai pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik jika MBMMBI dilaksanakan, lalu ada baiknya jika PPSMI yang diteruskan kerana penguasaan kek ekonomi negara kekal di tangan mereka? 



Atau mungkinkah kelompok taksub PPSMI punya agenda peribadi seperti terbabit dalam perniagaan buku latihan dan rujukan serta perisian untuk kedua-dua subjek berkenaan yang tersadai di gudang simpanan selepas dasar terbabit dimansuhkan? 



Ada juga sesetengah individu yang menjadikan anak mereka sebagai alasan mengapa PPSMI perlu dipertahankan, tanpa memikirkan pelajar yang dilahirkan pada 1993 juga melalui tekanan serupa ketika berada di Tingkatan Satu apabila dasar terbabit dikuatkuasakan. 



Mereka menjadi ‘mangsa’ apabila PPSMI diperkenalkan dan tiada siapa yang peduli dengan nasib mereka, baik orang politik mahupun mana juga NGO, tetapi nyata pelajar kelompok ini bersungguh demi masa depan lalu mencatat kecemerlangan. 



Berkat kesetiaan sebagai rakyat Malaysia yang patuh dengan segala macam perubahan dasar, pelajar kelompok 1993 membuktikan keunggulan mereka apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2010 diumumkan Kementerian Pelajaran sebagai terbaik pernah dicatat dalam sejarah negara. 



Lalu siapa sebenarnya yang mempolitikkan PPSMI, tidak menghormati keputusan yang dibuat pimpinan negara yang sudah memutuskan ia dimansuhkan pada 2009 dan meletakkan dua pemimpin negara pada kedudukan, ditelan mati emak diluah mati bapa! 



Tiada siapa yang menafikan kepentingan bahasa Inggeris dalam era kesejagatan yang menggila kini, tetapi biarlah setiap rakyat Malaysia berpada serta berwaspada dalam hal ini dengan melihat sama kelompok yang keciciran jauh dalam ekonomi negara. 



Hendaknya kerajaan tidak termasuk dalam perangkap kelompok yang sengaja mahu mengganggu gugat sistem pendidikan di sekolah kerajaan dengan memberi cadangan tidak masuk akal kerana hakikatnya pilihan sudah pun ada, iaitu sama ada ke sekolah swasta atau antarabangsa. 



Jika benar bahasa Inggeris mampu melakukan segala macam keajaiban dalam kehidupan diri, anak dan cucu-cicit masing-masing, pilihlah sekolah swasta dan antarabangsa yang bukan saja merealisasikan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik, tetapi juga peperiksaan awam lain! 



Alasan tanpa bahasa Inggeris pakar dalam Sains dan Matematik di negara tidak berpeluang menonjol potensi diri pada arena antarabangsa kerana pelbagai rujukan kedua-dua bidang terbabit dalam bahasa penjajah tidak sepatutnya timbul kerana hakikatnya kesungguhan akan mengatasi segala. 



Jangan hendaknya mana juga warganegara tanpa mengira bangsa menyalahkan bahasa dan budaya Melayu sebagai punca kegagalan kerana penulis bimbang kenyataan sedemikian akan lebih memburukkan keadaan serta mengganggu gugat keharmonian bangsa yang sedia terjalin! 

No comments:

Post a Comment