Wednesday, October 10, 2012

Suaram Kommunikasi milik Sivarasa


Kuala Lumpur: Pengasas bersama Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), R Sivarasa antara tiga pemilik perniagaan perkongsian, Suaram Kommunikasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Ahli Parlimen Subang yang mewakili PKR itu ialah rakan kongsi kepada Pengarah SUARAM merangkap Pengarah Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB), Dr Kua Kia Soong dan seorang lagi, aktivis pertubuhan itu, Cynthia Gabriel yang juga Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya.


Carian sistem maklumat syarikat dan perniagaan SSM menunjukkan Suaram Kommunikasi yang beribu pejabat di Petaling Gardens, Petaling Jaya dan didaftarkan pada Julai 1989 memiliki dua lagi cawangan di Taman Universiti Skudai dan Taman Skudai Baru, Skudai, Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Mohd Naim Daruwish, berkata perniagaan yang didaftarkan mengikut Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 itu menjalankan aktiviti penerbitan dan pengedaran bahan pendidikan, seminar selain menguruskan seminar.

Katanya, mengikut akta berkenaan, SSM bertanggungjawab mendaftar, memperbaharui dan membatalkan pendaftaran perniagaan.

Pembatalan pendaftaran perniagaan, katanya, boleh dilakukan jika perniagaan itu menyalahi etika perniagaan serta menjejaskan ketenteraman awam.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada laporan dibuat terhadap Suaram Kommunikasi.

"SSM mengendalikan pendaftaran lebih empat juta perniagaan berbentuk perkongsian dan pemilikan tunggal.

"Siasatan akan dilakukan jika SSM menerima laporan rasmi terhadap Suaram Kommunikasi," katanya kepada BH, semalam.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah bahawa pegawai SSM antara yang menerima rasuah daripada SUARAM, Mohd Naim berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan bersedia bekerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang terkejut dengan dakwaan itu berkata, jika JMM memiliki bukti wujud unsur rasuah dalam perkara berkaitan dengan SUARAM, pertubuhan itu boleh merujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

"Perkara ini tiada dalam pengetahuan saya dan menjadi berita baru kepada saya, memang perkara yang benar-benar mengejutkan SSM," katanya.