Wednesday, October 10, 2012

Siasat isu SUARAM sogok


Petaling Jaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan siasatan terperinci akan dilakukan terhadap dakwaan penjawat awam menerima sogokan daripada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) sebagai habuan untuk penyaluran maklumat dan rahsia kerajaan.


Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pemantauan berterusan juga akan dilakukan terhadap sebarang aktiviti yang dilihat sensitif kepada kepentingan dan keselamatan negara.


"Saya tidak boleh sah atau nafikan dakwaan itu (penjawat awam jual rahsia negara). Kita akan siasat dalam konteks perkara yang sensitif kepada kepentingan negara, sama ada membabitkan maklumat, wang ringgit dan manusia kerana dalam dunia tanpa sempadan tidak mustahil ia berlaku di mana-mana negara sekalipun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Wanita di Sekolah Menengah Kebangsaan Seafields USJ2, Subang Jaya, semalam.

Kelmarin Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah mendakwa dana asing melebihi RM100 juta yang diterima SUARAM digunakan untuk membiayai ceramah politik, demonstrasi memburukkan kerajaan dan menyogok penjawat awam bagi mendapatkan maklumat dan rahsia kerajaan.

SUARAM bagaimanapun menafikan dakwaan itu, sekali gus menuntut JMM menyertakan bukti dan jika gagal berbuat demikian, dituntut memohon maaf dan menarik semula dakwaan berkenaan.

Tetap jalankan siasatan

Hishammuddin berkata, pihaknya akan tetap menjalankan siasatan terhadap isu berkenaan walaupun tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam termasuk JMM atas dasar kepentingan keselamatan negara.

Mengulas siasatan menyeluruh terhadap SUARAM, beliau berkata, jika siasatan oleh pelbagai agensi termasuk bukan di bawah KDN mendapati wujud unsur yang boleh menjejaskan keselamatan negara, tindakan akan diambil.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, mahu siasatan segera dilakukan terhadap dakwaan ada penjawat awam disogok SUARAM sambil menyifatkan perkara itu sebagai serius.

"Sebagai benteng pertahanan kerajaan, penjawat awam seharusnya mendukung aku janji dan ikrar untuk tidak membocorkan rahsia khususnya berkaitan keselamatan negara. Jika benar ada bukti mengaitkan penjawat awam dengan sogokan, mereka harus dikenakan hukuman setimpal," katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment