Wednesday, October 10, 2012

JMM serah senarai tali barut SUARAM


Kuala Lumpur: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) akan menyerahkan bukti penjawat awam menerima sogokan daripada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh terdekat.


Presidennya, Azwanddin Hamzah, berkata pihaknya kini berusaha bertemu dengan orang atasan SPRM bagi menyerahkan dokumen terbabit.

"Saya tidak akan memberitahu akan berjumpa siapa orang atasan di SPRM, tetapi yang pasti tidak akan berjumpa Pengarah Bahagian Siasatan (Datuk Mustafar Ali)," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.


Khamis lalu, Azwanddin mendakwa dana asing melebihi RM100 juta yang diterima SUARAM digunakan untuk membiayai ceramah politik, demonstrasi memburukkan kerajaan dan menyogok penjawat awam bagi mendapatkan maklumat dan rahsia kerajaan.

SUARAM menafikan dakwaan itu, sekali gus menuntut JMM menyertakan bukti dan jika gagal berbuat demikian, dituntut memohon maaf dan menarik semula dakwaan itu.

Berikutan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN), kelmarin, memberi jaminan siasatan terperinci akan dilakukan terhadap dakwaan penjawat awam menerima sogokan daripada SUARAM sebagai habuan untuk penyaluran maklumat dan rahsia kerajaan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata beliau akan meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan agensi kerajaan berkaitan memantau dakwaan itu bagi menentukan kesahihannya.

"Saya akan meminta JPA dan agensi lain melihat (memantau), sama ada kes itu benar atau sebaliknya dan jika benar kita akan menyiasatnya," katanya selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Penjagaan Kesihatan 2012: Transformasi Kerjasama Sektor Awam dan Swasta anjuran KPJ Healthcare Berhad di Bandar Utama, di sini, semalam.