KUALA LUMPUR 8 Okt. - Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum perlu digubal segera sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 supaya segala bentuk campur tangan kuasa asing ke atas negara ini dapat dielakkan.
Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor menegaskan, amat penting bagi Parlimen menggubal akta tersebut segera kerana jika tidak dilaksanakan, kedaulatan politik negara akan digadai oleh tali barut penyangak mata wang asing, George Soros seperti mana berlaku di Georgia.
Jelasnya, menurut penulis Forbes, Richard Miniter, Soros telah membiayai kegiatan politik dan media melalui Open Society Institute di Georgia dengan alasan hak asasi manusia dan kebebasan suara.
''Akhirnya Soros yang menentukan siapa Presiden dan menteri-menteri di negara yang dibiayainya itu.
''Mereka yang dilantik memegang jawatan tersebut sudah tentu dalam kalangan tali barut Soros. Inilah demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan suara ala Soros,"katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah sebelum ini supaya Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum digubal segera bagi menyekat sebarang anasir negatif menyusup masuk ke negara ini dan meracuni pemikiran rakyat.
Jelas Azwanddin, akta itu perlu bagi menyekat campur tangan asing yang menggunakan medium media massa termasuk portal berita bagi merealisasikan tujuan tersebut.
Sebelum ini beberapa pihak di negara ini mengaku menerima dana daripada Soros termasuk portal berita propembangkang Malaysiakini dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Justeru, tegas Mohamad Ezam, satu akta baru perlu digubal segera bagi melindungi rakyat biasa daripada kerakusan tali barut pihak asing.
''Akta ini penting demi memelihara demokrasi di negara ini dan supaya tindakan boleh diambil terhadap tali barut yang mendapat habuan lumayan daripada pihak asing seperti Soros,"ujarnya.
No comments:
Post a Comment