Saturday, September 29, 2012

Desakan Rakyat


KUALA LUMPUR: Desakan rakyat yang mahukan kepastian dan kedudukan sebenar siasatan antara sebab utama dana diperoleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) didedahkan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau menegaskan, perkara itu bukan sengaja dijadikan isu oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebaliknya persoalan dibangkitkan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mengenai Suara Inisiatif Sdn Bhd mendorong siasatan menyeluruh dilaksanakan hingga kepada penemuan itu.

"Semua orang fokus kepada SSM seolah-olah isu ini SSM bangkitkan, tapi sebenarnya bermula apabila Jaringan Melayu memberitahu ada sesuatu tak kena mengenai Suara Inisiatif, maka kami siasat dan ada pertindihan.


"Memang setiap tahun SSM menerima laporan kewangan syarikat dan semuanya berdasarkan akaun diaudit yang dipercayai. Jika tak ada apa-apa yang tak kena pada rekod kewangan itu, maka tak ada apa-apalah (tak timbul kertas siasatan).

"Hanya bila ada laporan daripada pengarah yang tak berpuas hati atau pihak luar mahupun siasatan secara rawak, maka baru ada siasatan. Untuk kami periksa setiap akaun satu persatu memanglah di luar kapasiti kami," katanya di sini, semalam.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka SSM yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Mohd Naim Daruwish.

Ismail Sabri berkata, meskipun mengaku di luar bidang kuasa SSM atau kementerian untuk mendakwa Suaram, namun pendedahan mengenai dana diterima Suaram semata-mata kerana kemahuan rakyat yang cukup mendesak.

"Rakyat membuat tekanan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SSM supaya meletak jawatan kerana kami berdiam diri. Rakyat kata nak tahu apa keputusan, apa dapatan daripada siasatan walaupun bukan terletak dalam bidang kuasa kami untuk ambil tindakan.

"Tapi rakyat nak tahu, jadi kami cuma dedahkan apa hasil siasatan kami. Memang kami tak boleh ambil tindakan terhadap Suaram, tapi Suara Inisiatif berbeza, kalau ada timbul ketidaktelusan akaun, maka kami boleh bertindak di bawah Akta Syarikat 1965.

"Jadi terserah kepada rakyat untuk buat komen sama ada setuju atau tidak. Kami tidak mempengaruhi rakyat untuk serang Suaram atau sokong Suaram. Terserah kepada penilaian masing-masing," katanya.

Beliau turut meminta semua pihak menunggu perbincangan antara SSM, Bank Negara Malaysia dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) termasuk beberapa agensi berkuasa lain yang diadakan pada jam 9.30 pagi ini mengenai kedudukan Suaram.

Katanya, mesyuarat itu hanya sekadar perbincangan menyeluruh membabitkan semua pihak berkaitan dan difahamkan bukan untuk membuat keputusan bagi mengambil tindakan terhadap Suaram.

Akhbar, semalam melaporkan, Suaram dianggarkan menerima dana RM558,000 daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan spekulator mata wang, George Soros.

No comments:

Post a Comment