"Dalam masa sama, pemimpin-pemimpin PBB sendiri dilihat kalah kepada pelobi-pelobi yang cuba mempertahankan isu ini atas nama hak asasi manusia serta terkeliru dengan tafsiran itu,"
KUALA LUMPUR 3 Mac - Malaysia diminta bertegas dengan pendirian menolak pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada persidangan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Isnin ini.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, Malaysia juga perlu menyatakan pandangan bahawa negara ini tidak boleh sehaluan dengan mana-mana negara atau pihak yang menerima golongan tersebut pada perhimpunan itu nanti.
"Kita harap kerajaan bertegas dengan pendirian ini kerana bukan sahaja Malaysia merupakan sebuah negara Islam, tetapi LGBT itu sendiri melanggar norma-norma kehidupan manusia," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas desakan beberapa NGO supaya kerajaan mempertahankan pendirian berhubung isu kebebasan LGBT pada perhimpunan di Geneva, Switzerland itu nanti yang mana salah satu usul yang bakal dibangkitkan adalah berkenaan diskriminasi terhadap golongan LGBT.
Mohamad Maliki berkata, PBB seolah-olah kehilangan rasionalnya dalam segi memahami nilai-nilai utama dalam kehidupan manusia apabila mahu membangkitkan isu diskriminasi terhadap golongan tersebut.
"Dalam masa sama, pemimpin-pemimpin PBB sendiri dilihat kalah kepada pelobi-pelobi yang cuba mempertahankan isu ini atas nama hak asasi manusia serta terkeliru dengan tafsiran itu," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Syed Ibrahim Kader berkata, Malaysia harus membuktikan kepada badan tersebut bahawa negara ini mempunyai pendirian tegas terhadap isu-isu yang melanggar norma kehidupan manusia.
Sambil menyokong gesaan agar Malaysia bertegas pada perhimpunan PBB itu, Ibrahim berkata, adalah tidak logik bagi mana-mana pihak yang waras membenarkan budaya LGBT berleluasa di mana-mana negara kerana ia hanya membawa keburukan kepada masyarakat.
"Sememangnya Malaysia harus bersikap tegas di PBB mengenai perkara ini dan rakyat Malaysia juga harus bersatu untuk menentang kewujudan golongan yang merosakkan itu di negara ini," katanya.
No comments:
Post a Comment