"Masalah ini juga timbul kerana ada di kalangan pemimpin Islam sendiri yang menyokong pluralisme. Pemimpin seumpama ini perlu kita tolak kerana hanya memudaratkan agama, bangsa dan negara,"
KUALA LUMPUR 2 Mac - Kerajaan digesa mempertahankan pendirian berhubung isu kebebasan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia pada persidangan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Isnin depan.
Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan perlu tegas dengan pendirian sedia ada iaitu menolak golongan berkenaan kerana bertentangan dengan ajaran Islam serta norma kehidupan.
"Kami harap kerajaan tidak tunduk kepada gesaan pihak luar, walau daripada PBB sekali pun untuk mengiktiraf kewujudan golongan berkenaan di negara ini.
"Kami menggesa kerajaan supaya mempertahankan pendirian sedia ada dan menolak sebarang usul yang mahukan golongan yang dimurkai oleh Allah SWT itu diiktiraf di Malaysia.
"Kami tidak mahu budaya songsang itu terus menular di negara ini. Malaysia merupakan sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan, jadi adalah menjadi tanggungjawab kami sebagai pertubuhan Islam mempertahankan kedaulatan agama serta umat daripada budaya jijik itu," katanya ketika ditemui selepas perhimpunan membantah budaya LGBT di Masjid Negara di sini hari ini.
Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Isnin depan akan mengadakan persidangan di Geneva, Switzerland dan salah satu usul yang bakal dibangkitkan adalah berkenaan diskriminasi terhadap golongan LGBT.
Selain Isma, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam lain yang menyertai perhimpunan selepas solat Jumaat itu adalah Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang (Gabung), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hasan Syed Ali pula bimbang sekiranya usul supaya mengiktiraf golongan LGBT diluluskan kerana implikasinya kepada negara adalah sangat besar.
"Sehubungan itu, saya menggesa semua pemimpin parti politik khususnya yang beragama Islam supaya bersatu dalam isu ini. Kita sebagai umat Islam perlu tegas dan bersama-sama menentang budaya tidak bermoral yang boleh merosakkan akidah umat Islam.
"Masalah ini juga timbul kerana ada di kalangan pemimpin Islam sendiri yang menyokong pluralisme. Pemimpin seumpama ini perlu kita tolak kerana hanya memudaratkan agama, bangsa dan negara," jelasnya.
Sementara itu, Penasihat Madrasah Bab al-Khausar, Shahbudin Embun memberi peringatan kepada kumpulan-kumpulan pendokong LGBT ini supaya tidak 'besar kepala' dan mendesak negara mengiktiraf kewujudan mereka.
Katanya, NGO-NGO Islam sentiasa memantau isu berkenaan dan akan melakukan sedaya upaya untuk menghalang sebarang usaha mengiktiraf golongan berkenaan.
No comments:
Post a Comment