Friday, September 16, 2011

Syarikat Malaysia mampu


"Kenapa tidak mahu jual Esso kepada syarikat tempatan, Boustead Holdings Bhd., yang dimiliki oleh LTAT yang turut menyatakan minat membelinya,''

MALAYSIA masih dalam suasana menyambut Hari Kemerdekaan dan kemuncaknya pada 16 September ini apabila sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia disambut serentak.

Namun dalam meraikannya, adakah kita benar-benar dalam konsep kemerdekaan dari segi prinsip dan pendekatan, dari segi perjuangan ataupun semangat nasionalisme? Ini kerana dalam keadaan tertentu adalah sebaliknya .

Contoh paling utama apabila ExxonMobil mahu menjual kepentingannya dalam Esso Malaysia Bhd., kepada San Miguel Corporation (SMC) yang mencetuskan pelbagai konflik dan kecaman daripada kerajaan, ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan.

Walaupun Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sehingga kini mengesahkan persetujuan penjualan itu belum dimuktamadkan, tetapi wujudnya gambaran penjualan itu sudah pasti.

Ramai pihak yang mempunyai semangat nasionalisme tinggi mahukan sesuatu dilakukan supaya kepentingan Esso Malaysia Bhd., dikuasai oleh -syarikat tempatan.

Amat memeranjatkan kerana ExxonMobil memilih SMC setelah mengetepikan Boustead Holdings Bhd., yang didakwa membida syarikat tersebut pada harga RM1 bilion, lebih tinggi yang ditawarkan oleh SMC.

Penjualan kepentingan itu dengan nilai RM614.3 juta (AS$206 juta) atau RM3.50 sen sesaham. Perjanjian itu meliputi kepentingan ExxonMobil sebanyak 65 peratus dalam Esso Malaysia Bhd., yang memiliki syarikat penapisan minyak di Port Dickson, Negeri Sembilan serta 560 stesen minyak Esso dan Mobil di seluruh negara.

Boustead Holdings Bhd., pula merupakan anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang turut bergiat dalam sektor petroleum hiliran dan menaruh minat tinggi untuk memiliki Esso Malaysia Bhd., dalam meluaskan perniagaannya. LTAT pula merupakan organisasi yang cemerlang apabila aset terkumpul sehingga 31 Disember 2010 mencecah RM7.547 bilion manakala Boustead Holdings pula bagi tahun kewangan berakhir yang sama mencatatkan keuntungan tertinggi selepas cukai sebanyak RM625 juta berbanding RM418 juta sebelumnya.

Dalam usaha untuk memiliki Esso Malaysia Bhd., Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) menyuarakan impian supaya syarikat tersebut dijual kepada pihak-pihak tempatan kerana ia merupakan aset strategik dan berharga, yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi domestik.

Presidennya, Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, ExxonMobil haruslah mempertimbang langkah itu dengan menjual 65 peratus kepentingannya dalam Esso Malaysia Bhd., kepada pihak tempatan.

Begitu juga dengan NGO serta persatuan-persatuan pengguna yang mendesak supaya Esso Malaysia Bhd., dijual kepada syarikat tempatan di atas kepentingan nasional.

Misalnya Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, ExxonMobil perlu memastikan syarikat tempatan diberi keutamaan berbanding syarikat asing.

"Kenapa tidak mahu jual Esso kepada syarikat tempatan, Boustead Holdings Bhd., yang dimiliki oleh LTAT yang turut menyatakan minat membelinya,'' kata beliau.

Ini kerana LTAT juga sudah dalam operasi peruncitan minyak kerana memiliki rangkaian stesen minyak BHPetrol (BHP), katanya lagi.

Dalam hal ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri wajar dipuji kerana peka dengan isu itu apabila bertindak sendiri menghubungi pihak Esso di Amerika Syarikat bagi menyuarakan hasrat LTAT untuk membeli 65 peratus ekuiti dalam Esso Malaysia. Malah menteri itu akan mengadakan pertemuan dengan MITI bagi membincangkan langkah yang boleh diambil dalam isu penjualan 65 peratus pegangan dalam Esso Malaysia Bhd.

Walaupun pihak kementerian tidak boleh terlalu mencampuri urusan tersebut kerana dibimbangi ia akan memberi gambaran buruk kepada pelabur dari luar, namun ia selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan dipilih menguasai Esso Malaysia Bhd.

Dalam isu ExxonMobil ini, banyak rasa tidak puas hati timbul disebabkan bukannya tiada syarikat tempatan yang menawarkan pembelian saham tetapi ditolak dengan alasan yang tidak konkrit.

Malah harga yang ditawarkan oleh Boustead Holdings Bhd., adalah tinggi seolah-olah keupayaan syarikat tempatan diragui oleh pemegang saham terbesar iaitu ExxonMobil yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Walaupun difahamkan transaksi yang dilakukan oleh ExxonMobil dan SMC tertakluk kepada Garis Panduan Baharu Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) 2009, namun isu yang harus dijawab oleh ExxonMobil ialah kenapa bukan syarikat tempatan?

Gambaran daripada isu ExxonMobil ini seolah-olah persepsi buruk terhadap keupayaan syarikat tempatan dalam memiliki syarikat multicorporation masih wujud walaupun Malaysia telah merdeka selama 54 tahun.

Janganlah kita lupa syarikat petroleum negara, Petronas telah tersenarai dalam Fortune 500 walaupun hanya ditubuhkan pada tahun 1974 jika mahu dibandingkan usianya dengan syarikat petroleum gergasi seperti Shell.

Dan jangan dinafikan sejarah apabila syarikat automotif negara, Proton menguasai Lotus, satu jenama kenderaan antarabangsa yang telah terkenal di seluruh dunia.

Walaupun telah merdeka selama 54 tahun, erti kemerdekaan secara total sukar dilaksanakan tanpa perjuangan yang gigih dan berterusan oleh semua pihak.

Apa jua tindakan kita pada hari ini, kesannya akan diwarisi oleh generasi 1Malaysia untuk satu tempoh yang panjang pada masa akan datang.

Perjuangan untuk meletakkan kepentingan negara di tahap yang tertinggi sekali bukanlah satu perkara yang mudah dan ia adalah satu proses berterusan yang tidak boleh dipandang ringan

Sumber: Utusan Malaysia