Kajian yang dilakukan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) itu tidak mengambil kira pelbagai aspek, sebaliknya hanya bertumpu kepada persoalan sama ada ibu bapa setuju atau tidak dengan PPSMI.
BATU PAHAT 10 Sept. - Kementerian Pelajaran tidak dapat menerima kajian yang mendakwa lebih 50 peratus ibu bapa mahukan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan kerana ia tidak komprehensif dan menyeluruh.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian yang dilakukan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) itu tidak mengambil kira pelbagai aspek, sebaliknya hanya bertumpu kepada persoalan sama ada ibu bapa setuju atau tidak dengan PPSMI.
"Kajian itu tidak meliputi tentang keberkesanan PPSMI dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.
"Kementerian juga menolak PPSMI berdasarkan keputusan pelajar yang merosot dalam subjek Sains dan Matematik pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di sini, hari ini.
Mohd. Puad menjelaskan, semasa PPSMI dilaksanakan, hanya lapan peratus guru menggunakan bahasa Inggeris ketika mengajar subjek Sains dan Matematik kerana kebanyakan mereka tidak dilatih dan tidak menguasai bahasa itu.
Beliau berkata, pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan meminggirkan bahasa Inggeris, sebaliknya dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) turut bertujuan meningkatkan lagi penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan pelajar.
"Barangkali kementerian perlu memikirkan cara terbaik untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang kekeliruan ini dan memaklumkan dengan kaedah terbaik bahawa MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar," katanya.
Dalam pada itu jelasnya, langkah kementerian mempertimbangkan cadangan memberi kuasa kepada sekolah bagi memilih penggunaan bahasa Melayu atau Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik tidak bermakna kementerian akan kembali menggunakan PPSMI.
"Memang kita sedang mempertimbangkan cadangan itu dengan mengambil kira pelbagai aspek, tetapi ini langsung tidak bermakna kita akan kembali kepada PPSMI," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment