Monday, September 12, 2011

The Malaysian Insider dikecam

"Memang sudah menjadi perkara biasa dan kerja The Malaysian Insider memutar-belitkan isu untuk memburukkan kerajaan. Ia semata-mata untuk meneruskan agenda kotor mereka menimbulkan kekacauan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,"

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah hari ini mengecam tindakan portal berita The Malaysian Insider yang mengeluarkan laporan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh portal berita pro pembangkang itu iaitu lawatan Perdana Menteri ke Istana Kehakiman sebagai tanda campur tangan politik dalam badan kehakiman negara jelas menunjukkan ia semakin ketandusan idea dalam membangkitkan isu.

"Perdana Menteri hanya menjalankan tugas beliau. Sebelum ini pun pelbagai agensi lain dilawati Perdana Menteri. Ia tiada kena mengena dengan agenda lain atau campur tangan politik ke atas badan kehakiman negara.

"Kalau benar itu tujuan Perdana Menteri, beliau tidak perlu bersusah payah untuk pergi ke majlis itu, tetapi beliau boleh mengarahkan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi datang ke pejabatnya atau menghubunginya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, lawatan itu tidak wajar dipertikaikan kerana ia bukan sahaja meningkatkan semangat hakim dalam menjalankan tugas, malah menjadikan mereka lebih adil dan telus.

Tambahnya, The Malaysian Insider tidak lagi relevan kerana hanya mencetuskan kacau-bilau dan perselisihan faham antara rakyat.

"Memang sudah menjadi perkara biasa dan kerja The Malaysian Insider memutar-belitkan isu untuk memburukkan kerajaan. Ia semata-mata untuk meneruskan agenda kotor mereka menimbulkan kekacauan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap portal berita itu yang didapati telah banyak mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan memburuk-burukkan kredibiliti pihak tertentu.