Friday, September 16, 2011

Biar waspada dalam berhujah

Dengan gelar Dr di hadapan namanya, individu yang meluahkan pandangan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris ini, meletakkan `kesalahan' itu menjadi punca guru bahasa Inggeris gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, biarpun wibawa mereka melangit!


PERBINCANGAN penguasaan bahasa Inggeris pelajar sekolah negara ini belum reda dalam akhbar berbahasa Inggeris sepanjang minggu lalu dengan sebahagian besarnya mahu bahasa itu tampil sebagai bahasa yang paling perlu dikuasai untuk berjaya dalam era globalisasi ini.

Sebahagian besar yang memihak kepada keperluan menguasai bahasa Inggeris lupa bahawa Malaysia diikat dengan Perlembagaan Negara Fasal 152 yang dengan sendiri memerlukan setiap rakyat menghormati hak dan kedaulatan bahasa Melayu.

Mereka seolaholah lupa bahawa Malaysia sejak dulu bersikap terbuka dan memberi pilihan bahasa yang menjadi pilihan mereka untuk sekolah anak masingmasing menerusi sekolah swasta, sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

Janganlah Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE) dan Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mahupun individu tertentu `berlagak' mewakili sebahagian besar rakyat negara ini yang mahukan bahasa Inggeris demi masa depan dalam era sejagat ini.

Jangan pula kelompok yang mahu hak bahasa Melayu dipelihara, disemarakkan dan dimartabatkan dalam apa keadaan sekalipun, dilabel terikat dengan nostalgia silam kerana mereka juga punya hujah mengapa pendirian itu perlu terus ditegakkan.

Jangan dipaksakan bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sains mahupun Matematik dalam sistem sekolah kebangsaan kerana bijak pandai PAGE mahupun JMM pasti tahu bahawa bahasa bukan penentu kejayaan kepada keduadua subjek berkenaan.

Sempena Ramadan dan Syawal ini, jadilah manusia syukur nikmat yang diberikan Allah SWT kerana kerajaan sudah pun melaksanakan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun ini, dalam menangani penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

Apa yang lebih perlu dirisaukan ialah mengapa ramai pelajar tidak cemerlang dalam keduadua subjek berkenaan yang menjadi penentu peluang untuk masuk ke universiti walau di mana juga dalam apa juga kursus, lebihlebih lagi kursus kritikal.

Penulis lebih bimbang dengan kemelut itu lebihlebih lagi sekiranya ia membabitkan pelajar kelompok marhaen kerana jika dibiarkan, mereka akan kekal hidup segan mati tak mahu, apabila gagal melepaskan diri mahupun keluarga daripada belenggu kemiskinan.

Janganlah menjadi manusia yang terlalu tamak lagi haloba dalam merebut kek ekonomi negara tanpa ihsan pada kelompok yang jauh tercicir di belakang dan masih memerlukan `bantuan' dalam sistem pendidikan yang bahasanya `mesra' mereka.

Perbincangan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris pelajar hakikatnya sudah lebih sudu daripada kuah, dengan kelompok yang taksub bahasa penjajah itu enggan melihat ada sejumlah pelajar yang cemerlang dalam Sains dan Matematik, tetapi bahasa Inggeris mereka sekadar biasa saja.

Ini menjadi bukti analogi mereka untuk pelajar cemerlang dalam bahasa Inggeris bahawa mereka perlu mempelajari keduadua subjek itu dalam bahasa Inggeris tidak benar kerana hakikatnya sikap pelajar terhadap mata pelajaran terbabit dan kaedah pengajaran turut menyumbang.

Dalam perbincangan berhubung kelemahan bahasa Inggeris pelajar negara ini, ada juga individu yang bijak, tetapi tidak peka dengan tanggungjawab sebagai warganegara apabila melabelkan sistem pendidikan berputar dalam kepompong Melayu, dari segi bahasa dan budaya.

Dengan gelar Dr di hadapan namanya, individu yang meluahkan pandangan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris ini, meletakkan `kesalahan' itu menjadi punca guru bahasa Inggeris gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, biarpun wibawa mereka melangit!

Hujah individu ini begitu menghina bahasa dan budaya Melayu akan lebih memudaratkan perbincangan dan dalam masa sama mahu pengajaran bahasa Inggeris diswastakan kepada yang pakar bagi memastikan matlamat dapat dicapai.

Sekiranya cadangan itu diguna pakai, sekali lagi wang rakyat akan dileburkan, hal yang sama ketika Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan, sedangkan sejumlah wang juga sudah dilaburkan untuk pelaksanaan MBMMBI.

Justeru, biarlah MBMMBI dilaksanakan terlebih dulu tanpa perlu pihak mana sekalipun campur tangan dengan usaha Kementerian Pelajaran itu, apalagi merumuskannya gagal sebelum sempat ia bertapak kukuh bagi membuktikan keberhasilannya.

Jangan hendaknya mana juga warganegara tanpa mengira bangsa menyalahkan bahasa dan budaya Melayu sebagai punca kegagalan kerana penulis bimbang kenyataan sedemikian akan lebih memburukkan keadaan serta mengganggugugat keharmonian bangsa yang sedia terjalin!

Sumber: Berita Harian