"Majlis Peguam lebih sibuk melibatkan diri dalam isu politik sebaliknya mendiamkan diri tentang masalah penipuan wang ratusan juta yang melibatkan ahlinya"
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini mendesak Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee meletak jawatan secepat mungkin berikutan kegagalan badan itu menjalankan fungsi secara profesional.
Desakan itu diadakan melalui penyerahan memorandum dan perhimpunan aman di Bangunan UOA, Bukit Damansara, yang menempatkan firma guaman tempat Chee Wee bekerja.
Timbalan Presiden JMM, Omar Saleh berkata, Majlis Peguam sebelum ini bertindak prejudis dan tidak menjalankan peranan dalam menjaga kepentingan masyarakat.
"Majlis Peguam lebih sibuk melibatkan diri dalam isu politik sebaliknya mendiamkan diri tentang masalah penipuan wang ratusan juta yang melibatkan ahlinya.
"JMM sebagai mewakili rakyat Malaysia mahu Majlis Peguam menjalankan tugas dan fungsi secara jujur tanpa menjadi kuda tunggangan mana-mana parti politik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Omar menambah, memorandum bagi mendesak Chee Wee melepaskan jawatan itu diserahkan selepas JMM menghantar lima memorandum untuk tindakan Majlis Peguam sebelum ini.
"JMM juga mencabar seluruh ahli Majlis Peguam memikirkan semula peranan masing-masing di dalam pertubuhan berkenaan dan menjawab kepada rakyat tentang integriti yang wujud.
"Jika tidak mereka perlu bangun membetulkan peranan Majlis Peguam dan membetulkan fokus dalam memberikan pendidikan undang-undang kepada rakyat Malaysia," ujarnya.
Katanya, JMM bersedia untuk berhadapan dengan segala situasi dalam tindakan terus melakukan desakan terhadap Majlis Peguam.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment