Thursday, August 4, 2011

Nik Aziz terus dicabar

“Nik Aziz tidak pun membuat penafian secara serius dan tidak ubah seperti seorang hipokrit yang akan bertukar lidah mengikut keperluan politik.

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dicabar supaya membuat penafian dengan al-Quran bagi membuktikan beliau atau mana-mana ejennya tidak pernah mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai pakatan pembangkang pada masa depan.


Pengarah Hal Ehwal Agama, Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Nik Khairul Annuar berkata, ini kerana penafian Nik Aziz mengenai perkara itu melalui laman facebooknya merupakan satu penafian tidak serius dan janggal.

Pada masa yang sama, katanya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tidak layak membuat penafian bagi pihak pembangkang berhubung perkara itu kerana tawaran kepada Tengku Razaleigh memang dibuat tanpa pengetahuan beliau.

Selain itu, katanya, para pemimpin pembangkang lain juga mahu menyingkirkan Anwar berikutan dakwaan keterlibatannya dalam isu rakaman video seks yang tidak berkesudahan serta kes liwat yang dihadapinya di mahkamah.

“Nik Aziz tidak pun membuat penafian secara serius dan tidak ubah seperti seorang hipokrit yang akan bertukar lidah mengikut keperluan politik.

“Anwar pula ibarat ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’ sebab pakatan pembangkang serta rakyat Malaysia sudah muak dengan skandal seks peribadi beliau,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengemukakan cabaran itu kepada Nik Aziz selepas Menteri Besar Kelantan tersebut menyifatkan pelawaan pembangkang ke atas Tengku Razaleigh atau Ku Li bagi mengetuai mereka sebagai satu lawak jenaka.

Nik Khairul turut menempelak Anwar kerana menafikan perkara tersebut seperti dipetik daripada laporan portal propembangkang Malaysiakini, semalam.

Isu pelawaan pembangkang ke atas Ku Li yang merupakan pemimpin senior UMNO timbul selepas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendedahkannya kepada media pada 28 Julai lalu melalui maklumat yang diterimanya daripada rakan-rakannya dalam PKR.

No comments:

Post a Comment