Sunday, July 31, 2011

Pas dicabar jangan tanding pilihan raya

KUALA LUMPUR 27 Julai - Pas dicabar supaya tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang selepas parti itu membuat keputusan menolak mentah-mentah penggunaan sistem biometrik tanpa mendengar penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengarah Kebangsaan Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Hamdan Mohd. Salleh berkata, Pas dilihat sengaja memprotes apa saja tindakan kerajaan sama ada dalam isu biometrik mahupun idea baru SPR.

"Mereka (Pas) jelas takut atas keputusan yang memang tidak memihak kepada mereka yakni sokongan dan kuasa yang mereka dapat adalah daripada himpunan parti pembangkang.

"Ternyata Pas sendiri serta pemimpinnya sengaja menghimpun pelbagai alasan dan jika terlalu banyak alasan, jangan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jawatankuasa Pas Pusat semalam membuat keputusan menolak cadangan SPR berhubung perkara tersebut, sebaliknya tetap dengan pendirian menuntut penggunaan dakwat kekal kerana hanya cara itu yang dapat mengatasi masalah pengundian bertindih dalam sistem pilihan raya negara.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, penolakan itu berdasarkan kepada dua hujah iaitu sistem biometrik tidak akan dapat menyelesaikan masalah pengundian bertindih dan menghalang penyelewengan yang berlaku dalam sistem pilihan raya negara sejak sekian lama.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, tindakan Pas menolak biometrik kerana parti itu mahu menjadikannya sebagai alasan yang kuat untuk menyalahkan SPR jika mereka kalah teruk pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya sangat percaya jika SPR bersetuju menggunakan dakwat kekal seperti yang diminta Pas, pastinya mereka akan persoal macam-macam termasuk mendakwa penggunaan dakwat itu juga dicuriga akan diambil kesempatan untuk disalahgunakan oleh Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau meminta kepada SPR supaya berfikir semasak-masaknya sebelum menggunakan kaedah biometrik pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya yakin, jika Pas kalah besar mereka tetap akan salahkan SPR walaupun menggunakan biometrik atau dakwat kekal. Elok dikekalkan sahaja cara sebelum ini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment