Friday, May 7, 2010

Lantik CEO terajui GLC berdasarkan kepakaran, kata senator

May 06, 2010

KUALA LUMPUR, 6 Mei — Kementerian Kewangan hendaklah memastikan pelantikan seseorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah berdasarkan kepakaran dimiliki dan bukannya kerana mempunyai kaitan dengan pemimpin tertentu, kata Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.
“Kita bukan cemburu atau sakit hati dengan pelantikan mereka namun adakah latar belakang dan pengalaman mereka sudah mencukupi.
“Kalau memegang jawatan atas dasar merit, kita amat bersetuju namun kalau duduk di atas ‘‘merit sahabat’’ kita tidak dapat terima,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negara di sini, hari ini.
Merujuk kerugian yang ditanggung Pos Malaysia Berhad, Musa berharap semua pihak mengambil iktibar bagi memastikan kejadian sama tidak menimpa GLC lain.
“Jadi kita minta kepada kerajaan khasnya Kementerian Kewangan supaya siasat perkara ini, kita tidak mahu CEO yang dilantik tiada pengalaman dan akhirnya menyebabkan kerugian seperti yang dialami oleh Pos Malaysia. Pada saya walaupun RM1 juta sahaja kerugiannya, ia tetap satu kerugian besar kepada wang rakyat,” katanya.

Selasa lepas, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein memberitahu Dewan Negara, Pos Malaysia mengalami kerugian bagi tempoh tiga tahun lepas berjumlah RM227 juta ekoran pelaburan dalam syarikat penyedia perkhidmatan kargo udara, Transmile Group Berhad.
Musa turut meminta Kementerian Kewangan mengkaji semula kaedah pelantikan jawatan tertinggi dalam GLC seperti CEO dan Pengerusi bagi memastikan tiada individu memegang beberapa jawatan penting serentak.
Ini penting bagi memastikan individu yang diamanahkan untuk menerajui GLC dapat lebh fokus dalam melunaskan tanggungjawab mereka.
Beliau turut mempersoalkan adakah individu berkenaan mempunyai masa mencukupi untuk membuat beberapa tugasan serentak sedangkan syarikat yang diterajui mereka membabitkan kepentingan awam.
“Kalau individu berkenaan menjadi CEO dalam anak syarikat Felda tetapi pada masa sama menjadi Pengerusi Bank Islam, macam mana dia nak buat kerja. Takkanlah tiada orang lain di negara ini yang boleh pegang jawatan itu?
“Kenapa satu orang boleh memegang dua atau tiga jawatan dalam GLC, kita tidak mahu ada pihak tertentu menggunakan peluang ini untuk kepentingan mereka,” katanya. — Bernama