CYBERJAYA 20 Okt. - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini memberi keterangan dan menyerahkan bukti di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini berhubung kes hasutan membabitkan portal berita antikerajaan, The Malaysian Insider.
Antara yang hadir memberikan keterangan dan bukti pada pukul 9.50 pagi itu adalah Yang Dipertuanya, Azwanddin Hamzah bersama dua orang ahli JMM.
Azwanddin yang ditemui berkata, sebelum itu pihaknya dihubungi oleh SKMM untuk berbuat demikian selepas mengadakan demonstrasi di pekarangan bangunan Menara UOA, Bangsar pada Isnin lepas, mendesak agar portal berita pembangkang itu ditutup.
"Hari ini kami tampil untuk memberikan kerjasama untuk menyerahkan beberapa bukti yang mengaitkan The Malaysian Insider dengan artikel berbentuk fitnah, hasutan dan ugutan untuk disiasat.
"Selain itu, turut diserahkan adalah beberapa dokumen lain yang semuanya hampir 20 muka surat bagi membantu pegawai penyiasat menjalankan siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai memberikan keterangan selama 90 minit kepada dua pegawai penyiasat SKMM, di sini hari ini.
Isu mengenai The Malaysian Insider itu mula tercetus apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jahabar Sadiq diminta oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menjelaskan hubungannya dengan pemimpin Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) bagi memastikan tiada unsur pengkhianatan dilakukan ke atas Malaysia.
Ekoran itu, JMM telah membuat laporan polis berhubung dakwaan hubungan istimewa The Malaysian Insider dengan tiga pemimpin Bendera di Indonesia.
-source Utusan Online
No comments:
Post a Comment