Thursday, October 21, 2010

JMM serah bukti 'Malaysian Insider' fitnah kerajaan

Okt 20, 10 3:25pm

Sebuah badan bukan kerajaan, Jaringan Melayu Malaysia (JMM), hari ini menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia beberapa artikel dan dokumen yang dianggapnya sebagai bukti berhubung dakwaan kononnya portal berita, The Malaysian Insider, memfitnah kerajaan.

Yang Dipertua JMM Azwanddin Hamzah berkata artikel portal berita itu yang berbentuk "fitnah, hasutan dan ugutan" itu diserahkan kepada pegawai penyiasat SKMM pada 9.50 pagi tadi.

Katanya, beliau akan menyerahkan lebih banyak dokumen untuk membantu SKMM menjalankan siasatan.

Ditanya sama ada JMM sudah membuat laporan polis berkaitan dakwaan itu, beliau berkata: "Setelah mereka (SKMM) lakukan siasatan, mereka yang bawa kepada pihak polis. Itu prosedur SKMM."

Dua hari lalu, JMM mengadakan satu demonstrasi bagi menuntut supaya portal berita itu ditutup dan penajanya diberkas kerana didakwanya menghina institusi diraja dan menjejaskan hubungan kaum.

Perhimpunan yang diketuai Azwandin turut mendesak supaya polis menahan tiga individu yang didakwa sebagai pengasas portal berita berkenaan.

Beliau mendakwa bahawa Shaik Akmal dan (Datuk Seri) Kalimullah Hassan merupakan pengasas kepada portal berkenaan, manakala Sreedhar (Subramaniam) merupakan seorang ahli lembaga pengarah VPI International, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan portal berkenaan.

Azwandin juga bercadang mengumpulkan sehingga 5,000 orang untuk membuat bantahan selanjutnya jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap laman berkenaan.
-source Mkini